MADRID: Sebuah restoran makanan Cina di ibu kota Sepanyol diarah tutup selepas didapati menyajikan burung merpati jalanan yang dijual sebagai itik panggang kepada pelanggan.
Restoran Jin Gu yang terletak di daerah Usera itu telah diserbu pihak polis pada 25 Mac lalu dan penemuan yang menjijikkan itu mengejutkan ramai pihak.
Rakaman yang diambil oleh pegawai polis menunjukkan potongan daging yang kelihatan mengerikan tergantung di rak jemuran pakaian.
Klip video lain pula memaparkan beg berisi daging kotor dan beberapa mangkuk berisi burung merpati jalanan yang telah dicabut bulunya dan dimasak.
Media tempatan turut melaporkan, restoran tersebut memiliki lapan peti sejuk beku yang rosak dan berkarat, dipenuhi beg berisi daging dan ikan tanpa label serta tarikh luput.
Kawasan dapur pula dipenuhi lipas dan terdapat banyak perangkap tikus di atas lantai.
Selain itu tiada termometer digunakan untuk memantau suhu penyimpanan makanan dan peralatan memasak juga berkarat serta tidak bersih.
Lebih mengejutkan, restoran itu turut menyimpan beberapa bahan terlarang termasuk timun laut, yang merupakan spesies laut yang dilindungi di bawah undang-undang marin.
Pihak berkuasa juga menemui sebuah bilik stor rahsia yang tersembunyi di belakang rak dalam tandas orang kurang upaya (OKU) restoran tersebut.
Bilik tersebut tidak disenaraikan dalam lesen perniagaan restoran itu.
Susulan serbuan itu, restoran Jin Gu telah diarahkan untuk ditutup serta-merta dan pemiliknya kini sedang disiasat atas dakwaan jenayah terhadap kesihatan awam.
Dalam perkembangan lain, sebuah restoran mewah di Notting Hill, London iaitu Beach Blanket Babylon yang pernah dikunjungi golongan Diraja serta selebriti seperti Rita Ora dan Selena Gomez, turut ditutup selepas penemuan yang menjijikkan.
Pemeriksaan mendapati restoran itu dipenuhi tikus dan mencatatkan pelbagai pelanggaran serius terhadap peraturan kebersihan makanan.
Antaranya, najis tikus ditemui dalam makanan, pembersihan yang tidak mencukupi, kegagalan kawalan makhluk perosak, serta ketidakpatuhan terhadap Notis Penambahbaikan Kebersihan di bawah Peraturan Keselamatan dan Kebersihan Makanan (England) 2013.
Pihak Majlis Kensington dan Chelsea mengambil tindakan undang-undang terhadap dua pengusaha restoran berkenaan, Robert Kenneth Newmark dan Conor George Thomson-Moore.
Thomson-Moore mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan di Mahkamah Majistret City of London minggu lalu dan dijangka akan dijatuhkan hukuman tahun ini.
Pertuduhan terhadap Newmark bagaimanapun digugurkan.-AGENSI