WASHINGTON: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) yang diketuai Republikan menolak usaha Demokrat minoriti untuk memaksa pengundian bagi membatalkan tarif global berskala kecil yang dikenakan oleh Presiden, Donald Trump.
Langkah itu diluluskan menerusi undian mengikut garis panduan parti, membolehkan Speaker, Mike Johnson melambatkan sebarang resolusi Demokrat bagi membatalkan perisytiharan darurat negara yang digunakan Trump untuk mengenakan tarif berkenaan.
Akta Darurat Negara membenarkan resolusi ‘penolakan’ dibawa ke Dewan Perwakilan dalam tempoh 15 hari selepas diperkenalkan.
Namun, Republikan meluluskan peruntukan yang menyatakan bahawa, bagi tujuan mempertimbangkan darurat itu, baki tahun kewangan dikira sebagai satu hari kalendar.
Helah perundangan ini membolehkan pemimpin Republikan menangguhkan sebarang tindakan sehingga Oktober.
Langkah terbaharu ini menjejaskan resolusi yang diperkenalkan oleh kumpulan Demokrat pada Selasa untuk menamatkan darurat negara yang menjadi asas kepada kuasa tarif Trump.
Isu ini bagaimanapun menjadi kurang mendesak selepas Trump secara mengejut menghentikan sementara tindakan perang dagangnya, dengan penangguhan 90 hari terhadap kebanyakan negara berkaitan tarif timbal balik yang diumumkannya.
Trump masih mempunyai kuasa veto terhadap mana-mana rang undang-undang yang tidak mendapat sokongan dua pertiga kedua-dua dewan Kongres, menjadikan usaha ini berdepan kegagalan sejak awal.
Namun, Demokrat tetap menyuarakan kemarahan, mendakwa Republikan membiarkan Kongres menjadi pemerhati dalam urusan perdagangan luar, sekali gus mengabaikan tanggungjawab pengawasan seperti termaktub dalam perlembagaan.
Pengerusi Jawatankuasa Republikan, Virginia Foxx, mengingatkan bahawa Demokrat pernah menggunakan taktik sama pada 2021 untuk menghalang Republikan menamatkan darurat negara berkaitan pandemik Covid-19.
Johnson pula berkata kepada wartawan bahawa undian terbabit memberi Trump ‘kuasa yang wajar’ untuk menangani amalan perdagangan tidak adil.