Remaja Palestin maut dalam penjara Israel akibat dibiar kebuluran - Utusan Malaysia

Remaja Palestin maut dalam penjara Israel akibat dibiar kebuluran

Walid Khalid Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMALLAH: Seorang remaja Palestin berusia 17 tahun, Walid Khalid Ahmad, dilaporkan meninggal dunia di Penjara Megiddo, Israel pada 22 Mac lalu akibat kekurangan zat makanan berpanjangan, menurut laporan bedah siasat yang dijalankan oleh pakar patologi Israel.

Menurut Persatuan Banduan Palestin (PPS), kematian Walid menjadi kes pertama kematian kanak-kanak bawah umur dalam tahanan Israel sejak konflik Hamas-Israel meletus pada Oktober 2023.

Ahmad ditangkap pada 30 September tahun lalu di kediamannya di Silwad, sebuah bandar di timur laut Ramallah di Tebing Barat.

Bapanya, Khalid Ahmad, memberitahu anaknya ditahan bagi tuduhan kesalahan yang didakwa dilakukan antara 2020 hingga 2023 termasuk membaling batu dan bom petrol, namun dinafikan oleh keluarga itu.

Lima hari selepas kematiannya, mayat Ahmad dibedah siasat di Institut Forensik Abu Kabir, Tel Aviv sebelum laporan autopsi yang dikongsi keluarga dengan CNN menunjukkan tanda-tanda kekurangan zat makanan yang teruk, termasuk kehilangan jisim otot di bahagian pelipis, perut kempis, hampir tiada jisim otot atau lemak di badan dan anggota.

“Penemuan menunjukkan Walid mengalami kekurangan zat makanan yang teruk dan berpanjangan, berdasarkan keadaan fizikalnya dan aduan kurang makanan sejak sekurang-kurangnya Disember 2023,” menurut laporan itu.

CNN tidak menerima sebarang maklum balas daripada pihak berkuasa Israel mengenai sebab penahanan Ahmad atau status pendakwaannya.

PPS mendakwa Ahmad bukan sahaja mangsa pertama bawah umur sejak Oktober lalu, malah sejak 1967 malah sekurang-kurangnya 63 rakyat Palestin dari Gaza dan Tebing Barat telah mati dalam tahanan Israel sejak konflik terkini, termasuk 40 dari Gaza.

Bapa Ahmad, Khalid, menceritakan detik menyayat hati ketika pasukan Israel menyerbu rumah mereka pada pukul 3.30 pagi untuk menangkap anaknya.

“Kami hanya dimaklumkan tentang kematiannya dua hari selepas kejadian. Beberapa hari kemudian, doktor yang membedah memberitahu saya ‘kebenaran pahit’ tentang punca kematian anak saya,” kata Khalid.

Walid yang aktif dalam sukan tidak mempunyai masalah kesihatan sebelum ditahan. Keluarganya percaya layanan dalam tahanan menyebabkan kematiannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya