WASHINGTON: Sekurang-kurangnya 147 pelajar antarabangsa dilaporkan kehilangan hak untuk terus tinggal di Amerika Syarikat (AS) sejak beberapa hari lalu selepas visa mereka dibatalkan, menurut laporan universiti dan media tempatan.
Ia mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelajar serta kekeliruan di institusi pengajian tinggi yang berusaha untuk membantu pelajar yang kini berdepan risiko penahanan dan pengusiran.
Tindakan itu membabitkan pelajar dari pelbagai universiti, termasuk institusi swasta seperti Universiti Harvard dan Universiti Stanford, serta universiti awam iaitu University of Texas di Austin dan Minnesota State University-Mankato.
Universiti California turut menerima puluhan kes seumpama itu di kampus mereka.
Beberapa peguam imigresen memberitahu The New York Times (NYT) bahawa mereka mula menerima panggilan dan emel daripada pelajar sejak hujung minggu lalu selepas diberitahu oleh Jabatan Negara AS atau universiti bahawa visa atau status mereka sudah ditamatkan tanpa penjelasan terperinci.
Secara tradisinya, sabitan jenayah boleh menyebabkan pelajar antarabangsa kehilangan status mereka, namun pembabitan dalam tindakan politik atau kesalahan trafik jarang dijadikan alasan.
Dalam beberapa kes, pegawai imigresen dilaporkan menahan pelajar yang terbabit dalam gerakan menyokong Palestin.
Beberapa pelajar lain pula dilaporkan pernah melakukan kesalahan ringan seperti memandu melebihi had laju atau di bawah pengaruh alkohol, namun kesalahan itu berlaku beberapa tahun lalu, menurut beberapa peguam.
Namun, menurut mereka, pentadbiran Donald Trump sering kali tidak memberikan sebarang sebab yang jelas menyebabkan pihak peguam hanya mampu membuat andaian mengenai punca sebenar pelajar menjadi sasaran.
“Ini menyalahi amalan biasa kerajaan selama ini. Mereka menamatkan status pelajar dengan cara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.
“Tanpa sebarang penjelasan dan tiada ruang untuk membetulkan atau merayu, sama ada oleh institusi mahupun pelajar,” kata Ketua Eksekutif Presidents’ Alliance on Higher Education and Immigration, Dr Miriam Feldblum.
Beliau mewakili lebih 570 kolej dan universiti awam serta swasta di seluruh negara.