Rakyat Bangladesh ikrar boikot produk Israel

Rakyat Bangladesh ikrar boikot produk Israel

PENDUDUK Bangladesh sehati sejiwa menyatakan sokongan terhadap Palestin dan menentang sekeras-kerasnya kezaliman rejim Zionis. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Lebih sejuta rakyat Bangladesh membanjiri jalan di Dhaka bagi menyertai perhimpunan solidariti Gaza terbesar negara itu serta berikrar memboikot produk dan entiti yang mempunyai kaitan dengan Israel, pada Sabtu.

Acara dianjurkan Pergerakan Solidariti Palestin Bangladesh itu menyaksikan penyertaan ahli politik, selebriti, artis, penyair dan pempengaruh media sosial terkemuka yang bersama-sama menyeru pemimpin dunia mendakwa Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan pihak bertanggungjawab bagi pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

Pemimpin politik yang hadir menuntut akauntabiliti antarabangsa dan tindakan segera menghentikan serangan maut Israel ke atas Gaza yang telah mengorbankan lebih 50,900 nyawa, mencederakan 116,000 orang dan menyebabkan dua juta yang lain menghadapi kebuluran.

Satu deklarasi bersama yang dibacakan dalam perhimpunan itu menyeru masyarakat antarabangsa mengambil tindakan efektif dan kolektif menghentikan genosid, khususnya negara-negara Islam untuk memutuskan segera semua hubungan ekonomi, ketenteraan dan diplomatik dengan Israel serta mengenakan sekatan perdagangan.

“Kami akan memboikot setiap produk, syarikat dan kuasa yang menyokong pendudukan Israel. Kami akan mulakan dari rumah sendiri, meninggalkan kesan ikrar ini dalam bahasa, sejarah, pendidikan, ekonomi dan masyarakat,” menurut deklarasi yang dibacakan Mahmudur Rahman, editor akhbar Amar Desh.

Peserta turut menyeru kerajaan mengembalikan klausa ‘kecuali Israel’ dalam pasport Bangladesh yang sebelum ini menghalang warganya melawat Israel. Walaupun Bangladesh tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, klausa tersebut dimansuhkan pada 2021 oleh pentadbiran Sheikh Hasina.

“Saya berhenti membeli produk Israel sejak awal serangan Israel setahun setengah lalu. Saya langsung tidak beli Coca-Cola walaupun ia minuman popular di sini. Ini cara saya secara peribadi membantah Israel.

“Boikot sebegini pasti memberi kesan. Tiada yang lebih kuat daripada kuasa rakyat,” kata seorang peniaga di Dhaka, Arman Sheikh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya