Rakaman video terakhir dedah pasukan penyelamat Gaza mengucap, berdoa sebelum ditembak Israel - Utusan Malaysia

Rakaman video terakhir dedah pasukan penyelamat Gaza mengucap, berdoa sebelum ditembak Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Satu rakaman video yang ditemui pada telefon bimbit seorang pekerja bantuan yang terbunuh di Gaza bersama pasukan penyelamat lain menunjukkan detik-detik terakhir mereka dengan ambulans jelas bertanda dan lampu kecemasan berkelip ketika ditembak bertalu-talu oleh tentera Israel

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Palang Merah Palestin (PRCS), pekerja bantuan itu antara 15 anggota kemanusiaan yang terbunuh pada 23 Mac dalam serangan oleh tentera Israel.

Tentera Israel sebelum cuba berdalih dengan mendakwa askarnya tidak menyerang ambulans secara rawak, sebaliknya menembak ‘pengganas’ yang menghampiri mereka menggunakan ‘kenderaan mencurigakan’.

Jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Nadav Shoshani berkata pasukan mereka melepaskan tembakan ke arah kenderaan yang tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa Israel dan tidak menghidupkan lampu.

Namun, video yang dikeluarkan PRCS pada Sabtu bertentangan dengan dakwaan tentera Israel menunjukkan ambulans bergerak dengan lampu depan dan lampu kecemasan yang jelas berkelip.

Rakaman yang direkod dari dalam sebuah kenderaan bergerak, menunjukkan sebuah trak bomba merah dan beberapa ambulans bergerak pada waktu malam. Kenderaan-kenderaan itu berhenti di tepi jalan, dan dua lelaki berpakaian uniform keluar sebelum beberapa saat kemudian, tembakan kuat meletus.

Dalam video tersebut, suara dua petugas perubatan kedengaran dengan salah seorang berkata, ‘kenderaan, kenderaan,’ dan seorang lagi menjawab, ‘nampaknya kemalangan.’ Beberapa saat kemudian tembakan meletus dan skrin menjadi gelap.

PRCS dalam satu kenyataan berkata, video itu ditemui pada telefon seorang daripada pekerja bantuan yang terbunuh, Rifat Radwan dan rakaman itu mendedahkan kebenaran dan mematahkan naratif palsu Israel.

“Video ini secara jelas menolak dakwaan rejim pendudukan bahawa tentera Israel tidak menyerang ambulans secara rawak, dan ada kenderaan yang menghampiri secara mencurigakan tanpa lampu atau tanda kecemasan,” menurut PRCS.

Dalam video itu juga, seorang petugas perubatan yang merakam kejadian itu kedengaran membaca syahadah, pengakuan iman Islam yang biasanya dibaca ketika menghadapi kematian.

“Tiada tuhan melainkan Allah, Nabi Muhammad pesuruh Allah. Maafkan aku ibu kerana aku memilih jalan ini, jalan membantu orang,” katanya dengan suara gementar ketakutan sementara tembakankuat terus kedengaran.

Sebelum rakaman tamat, dia berkata, “Terimalah syahidku, Ya Allah, dan ampunilah aku.” Beberapa saat terakhir, dia menjerit, “Orang Yahudi datang, orang Yahudi datang!” merujuk kepada tentera Israel.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya