MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin mencadangkan rundingan dua hala dengan Ukraine buat pertama kali sejak awal peperangan tercetus antara dua negara itu.
Walaupun tidak memberi maklum balas secara langsung terhadap cadangan Putin itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menegaskan dalam ucapan video bahawa Ukraine turut bersedia untuk sebarang perbincangan berkenaan gencatan senjata yang dapat menghentikan serangan terhadap orang awam.
Kedua-dua pemimpin kini berdepan tekanan daripada Amerika Syarikat (AS) yang memberi amaran akan menarik diri daripada usaha damai jika tiada kemajuan dicapai.
Russia dan Ukraine sebelum ini menyatakan kesediaan untuk melanjutkan gencatan senjata selepas melaksanakannya selama 30 jam sempena sambutan Easter yang diumumkan oleh Moscow pada hujung minggu lalu namun, kedua-dua pihak saling menuduh pihak lawan melanggar perjanjian tersebut.
Zelensky berkata, Ukraine akan menyertai rundingan bersama AS dan negara-negara Eropah pada Rabu di London susulan mesyuarat di Paris minggu lalu yang membincangkan langkah untuk menamatkan perang lebih tiga tahun itu.
Dalam wawancara bersama wartawan TV kerajaan Russia, Putin berkata, pertempuran bersambung semula selepas gencatan senjata Easter yang diumumkannya secara unilateral pada Sabtu namun Moscow terbuka kepada sebarang inisiatif damai dan mengharapkan perkara sama daripada Kyiv.
“Kami sentiasa bersikap positif terhadap inisiatif damai. Kami berharap pihak Kyiv juga akan bersikap sedemikian,” kata Putin kepada wartawan negara, Pavel Zarubin.
Dalam ucapannya, Zelensky berkata, Ukraine tetap dengan cadangan untuk menghentikan serangan terhadap sasaran awam dan bersedia untuk berbincang dalam apa jua bentuk bagi mencapai matlamat itu.
Sebelum ini, AS dan Ukraine mencadangkan tempoh gencatan senjata selama 30 hari.
“Ukraine mengekalkan pendiriannya untuk tidak menyerang sasaran awam, sekurang-kurangnya. Dan kami menunggu respons yang jelas daripada Moscow. Kami bersedia untuk sebarang perbincangan mengenai bagaimana matlamat ini boleh dicapai,” katanya.
Beliau menegaskan rundingan di London mempunyai matlamat utama iaitu mendesak satu gencatan senjata tanpa syarat, sebagai titik permulaan yang perlu dicapai.