Pusingan pertama rundingan nuklear AS, Iran berlangsung positif

Pusingan pertama rundingan nuklear AS, Iran berlangsung positif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUSCAT: Pusingan pertama rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) berkenaan program nuklear Teheran dilaporkan selesai dengan kedua-dua negara menyifatkannya sebagai ‘konstruktif’.

Teheran dan Washington juga mengesahkan pusingan kedua rundingan akan diadakan minggu depan dengan AS memuji ‘komunikasi langsung’ sebagai kunci untuk mencapai perjanjian yang berpotensi.

Presiden AS, Donald Trump sebelum ini menarik keluar AS daripada perjanjian nuklear terdahulu antara Iran dan kuasa dunia pada 2018 dan berulang kali menyatakan hasrat untuk merundingkan perjanjian yang lebih baik.

Pertemuan pertama yang berlangsung selama dua jam setengah itu dikatakan ringkas, namun penuh rasa hormat, sekali gus membuka jalan untuk pusingan kedua.

Ia merupakan rundingan paling penting sejak AS menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran 2015 ketika penggal pertama Trump.

Ketua perunding Iran, Menteri Luar, Abbas Araghchi, memberikan ulasan yang positif.

“Sebagai pertemuan pertama, ia adalah mesyuarat yang konstruktif yang berlangsung dalam suasana yang sangat damai dan penuh rasa hormat kerana tiada bahasa yang tidak wajar digunakan,” katanya kepada televisyen nasional Iran.

Nada diplomatik beliau menunjukkan delegasi AS yang diketuai Utusan Khas Trump, Steve Witkoff tidak mengulangi ancaman Presiden yang mengatakan Iran akan berdepan ‘bahaya besar’ sekiranya dialog ini gagal.

Mesyuarat itu berlangsung dengan delegasi kedua-dua negara berada di bilik berasingan dan mesej disampaikan melalui Menteri Luar Oman, Badr bin Hamad al-Busaidi.

Witkoff sebelum ini menyatakan hanya akan bertemu delegasi Iran secara bersemuka sebelum berbual secara terbuka dengan Araghchi selama beberapa minit.

Iran yang berdepan tekanan daripada golongan konservatif dalam negara menegaskan, interaksi bersemuka itu amat terhad, tanpa sebarang gambar diambil.

Dalam kenyataan selepas rundingan itu, Rumah Putih berkata, perbincangan tersebut sangat positif dan konstruktif sambil menyatakan Witkoff menegaskan beliau diberi mandat untuk menyelesaikan perbezaan melalui dialog dan diplomasi, sekiranya ia boleh dicapai.

Rumah Putih memaklumkan, rundingan seterusnya akan berlangsung pada Sabtu depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya