BEIJING: Sebuah kawasan peranginan di wilayah Jianxi, China mencetuskan kontroversi apabila melabur jutaan dolar dalam projek pembinaan rangkaian eskalator gergasi yang membolehkan pengunjung sampai ke puncak gunung setinggi 1,500 meter tanpa sebarang usaha fizikal.
Terletak di Kawasan pelancongan Lingshan, projek mega yang bermula sejak 2022 itu dijangka siap sepenuhnya pada bulan depan, sekali gus membolehkan pengunjung menikmati pemandangan memukau dari puncak hanya dengan menaiki eskalator terbuka yang dibina secara bertingkat dari kaki gunung hingga ke atas.
Beberapa foto dan rakaman video terkini dari lokasi menunjukkan puluhan eskalator dihubungkan antara satu sama lain, menjadikan projek ini antara pemasangan eskalator luar bangunan terbesar dan paling kompleks di China.
Sebelum ini, Gunung Tanyu di wilayah Zhejiang menjadi tular apabila memperkenalkan eskalator ke puncaknya yang berketinggian 350 meter pada 2023.
Sejak itu, beberapa kawasan pergunungan lain turut mengikuti langkah sama bagi menarik lebih ramai pelancong.
Reaksi orang ramai terhadap inisiatif ini bagaimanapun bercampur-baur dengan ada yang menyambut baik usaha tersebut kerana membolehkan golongan warga emas dan orang kurang upaya menikmati keindahan alam semula jadi, manakala tidak kurang juga yang mengecamnya sebagai memusnahkan semangat sebenar aktiviti mendaki.
“Dahulu, pengunjung perlu mendaki ribuan anak tangga dan mengambil masa kira-kira dua jam untuk sampai ke puncak Lingshan. Kini, mereka hanya perlu beberapa minit,” menurut laporan media tempatan.
Meskipun ada yang menganggap teknologi ini sebagai satu kemudahan moden yang inklusif, segelintir pengunjung tegar melihatnya sebagai satu bentuk pencemaran terhadap pengalaman asli dan kepuasan mendaki gunung.