Presiden Iran pecat timbalan susulan lawatan mewah ke Antartika - Utusan Malaysia

Presiden Iran pecat timbalan susulan lawatan mewah ke Antartika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Presiden Iran Masoud Pezeshkian, memecat timbalannya, Shahram Dabiri berikutan kontroversi lawatan mewah ke Antartika ketika rakyat negara itu berdepan krisis ekonomi dan hiperinflasi, pada Sabtu.

Gambar yang tular dalam media sosial baru-baru ini menunjukkan Dabiri dan seorang wanita dipercayai isterinya berdiri berhampiran kapal persiaran mewah Plancius, yang menawarkan pakej pelancongan eksklusif ke Antartika sejak 2009.

Difahamkan harga bagi satu pakej lapan hari dilaporkan mencecah 3,885 euro (RM19,600) seorang.

Dalam surat pemecatan yang disiarkan agensi berita rasmi IRNA, Pezeshkian menegaskan dalam keadaan tekanan ekonomi rakyat masih tinggi, lawatan mewah oleh pegawai kerajaan tidak boleh diterima atau dipertahankan walaupun dibiayai sendiri.

Dabiri, 64, seorang doktor dan rakan rapat Pezeshkian, baru dilantik sebagai timbalan presiden pada Ogos 2023. Kontroversi ini mencetuskan kritikan meluas, dengan ramai penyokong presiden mendesak beliau mengambil tindakan tegas.

Sebelum ini, pejabat Dabiri mempertahankan diri dengan mendakwa lawatan itu dibuat sebelum beliau memegang jawatan kerajaan, namun alasan itu gagal meredakan kemarahan orang ramai.

Krisis ini menjadi satu lagi tamparan buat Pezeshkian yang memenangi pilihan raya tahun lalu dengan janji memulihkan ekonomi dan meringankan beban hidup rakyat.

Awal Mac lalu, Menteri Ekonominya, Abdolnasser Hemmati, juga dipecat parlimen berikutan kejatuhan nilai mata wang Iran (rial) dan inflasi melambung tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya