SEOUL: Kabinet Korea Selatan dijangka menetapkan tarikh 3 Jun ini untuk pilihan raya presiden selepas Mahkamah Perlembagaan melucutkan jawatan bekas Presiden Yoon Suk Yeol berhubung cubaannya melaksanakan undang-undang tentera.
Kabinet dijangka memuktamadkan tarikh tersebut hari ini.
Lapor Yonhap, mengikut perundangan, pilihan raya awal perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas keputusan mahkamah.
Undang-undang turut menetapkan tarikh pilihan raya presiden perlu diumumkan sekurang-kurangnya 50 hari lebih awal.
Ini memberikan tempoh 11 hari untuk pilihan raya diadakan dari 24 Mei hingga 3 Jun, namun penganalisis menjangkakan pengundian akan berlangsung pada hari terakhir.
Pemerhati jangka 3 Jun, hari ke-60 selepas keputusan mahkamah sebagai tarikh paling berkemungkinan memandangkan pilihan raya itu mungkin dilewatkan bagi memberi masa mencukupi kepada parti politik untuk bersiap sedia.
Menurut Yonhap, sekiranya pilihan raya pada 3 Jun disahkan, tempoh pendaftaran calon secara rasmi ialah pada 10 hingga 11 Mei.
Tempoh berkempen pula akan bermula pada 12 Mei hingga sehari sebelum pilihan raya atau 2 Jun.
Undang-undang itu juga menghendaki mana-mana penjawat awam yang ingin bertanding jawatan presiden perlu meletak jawatan sekurang-kurangnya 30 hari sebelum pilihan raya.