HUANUCO: Seorang warga emas di Peru yang mendakwa dirinya sebagai lelaki tertua di dunia kelihatan ceria menyambut ulang tahunnya yang ke-125 hujung minggu lalu di sebuah rumah jagaan di Cochachinche, Huanuco.
Marcelino Abad Tolentino, yang hanya memiliki ketinggian sekitar 4 kaki 2 inci, kelihatan tersenyum lebar ketika meniup lilin di atas kek hari jadinya sambil ditemani para penjaga rumah jagaan berkenaan.
Walaupun tidak memiliki sijil kelahiran dan belum mendapat pengesahan rasmi daripada Buku Rekod Dunia Guinness, kerajaan Peru telah mengeluarkan kad pengenalan kebangsaan yang menyatakan beliau dilahirkan pada 5 April 1900.
Marcelino yang tidak pernah berkahwin dan tidak mempunyai anak, sebelum ini bekerja sebagai petani dan tukang batu hanya dikenal pasti oleh pihak berkuasa negara itu menerusi program bantuan sosial “Pensión 65” pada tahun 2019.
Menurut penjaga rumah jagaan, Marcelino kini tidak boleh memulakan pagi tanpa menikmati sebiji avokado, dan ketika zaman mudanya pula beliau gemar mengunyah daun coca.
Jika dakwaan usianya terbukti benar, Marcelino akan mengatasi rekod semasa pemegang gelaran lelaki tertua dunia iaitu João Marinho Neto dari Brazil yang berusia 112 tahun dan 184 hari.
Dalam pada itu, Marcelino yang dikenali dengan gelaran mesra ‘Mashico’ terus menikmati kehidupannya secara sederhana dan damai di mana beliau sebelum ini tinggal di sebuah ladang kopi terbiar yang tiada bekalan elektrik sebelum berpindah ke rumah jagaan tersebut.
Rakaman terdahulu memaparkan beliau masih mampu memegang kapak dan membelah kayu walaupun telah melepasi usia 119 tahun dan difahamkan, Marcelino telah menjadi yatim piatu sejak kecil apabila kedua ibu bapanya hanyut dibawa arus sungai ketika cuba menyeberangi kawasan terpencil sebelum dibesarkan oleh pemilik sebuah estet dan bekerja sejak kecil tanpa sempat mendapatkan pendidikan formal.
Marcelino juga tidak pernah mengenal dunia moden seperti telefon bimbit atau internet, sebaliknya menghabiskan usia dewasanya dengan bercucuk tanam dan memelihara haiwan ternakan kecil.
Kini, usaha sedang digerakkan oleh pihak berkuasa Peru untuk membawa kes Marcelino ke peringkat antarabangsa dan mendapatkan pengiktirafan rasmi daripada Buku Rekod Dunia Guinness sebagai lelaki tertua pernah hidup di dunia. –AGENSI