Persediaan hadapi Perang Dunia Ketiga, Jerman arah guru latih murid berperang - Utusan Malaysia

Persediaan hadapi Perang Dunia Ketiga, Jerman arah guru latih murid berperang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN: Kementerian Dalam Negeri Jerman menggesa agar latihan pertahanan awam dimasukkan dalam sistem pendidikan negara itu, selain meminta rakyat menyimpan bekalan makanan, air dan keperluan asas sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga hari, berikutan situasi keselamatan Eropah yang semakin meruncing serta ancaman perang dunia ketiga yang kian meningkat.

Langkah luar biasa itu disahkan menerusi satu kenyataan kepada akhbar Handelsblatt, dengan menyatakan pelajar sekolah di Jerman bakal diajar cara bertindak ketika senario perang atau kecemasan tercetus.

Jurucakap kementerian berkenaan berkata, perlindungan awam wajar diberi perhatian lebih, termasuk di sekolah-sekolah, memandangkan perkembangan geopolitik terkini yang membimbangkan serta pandangan pakar mengenai Rusia berkemungkinan menyerang wilayah NATO dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Susulan itu, Suruhanjaya Eropah menggesa semua rakyat di 27 negara anggotanya supaya menyediakan ‘kit kecemasan 72 jam’ sebagai langkah menghadapi sebarang kemungkinan dan antara barangan yang dicadangkan ialah mancis, dokumen pengenalan dalam bekas kalis air, air minuman botol, makanan tenaga, lampu suluh serta ubat-ubatan penting.

Tindakan ini turut disarankan kepada rakyat UK yang sedang menghadapi kemungkinan sabotaj saluran tenaga oleh Rusia di mana penutupan loji arang batu demi mencapai sasaran alam sekitar sifar karbon (Net Zero), Britain kini banyak bergantung kepada gas dan elektrik import, termasuk menerusi paip sepanjang 700 batu dari Norway.

Kebimbangan meningkat selepas kapal perisik Rusia, Yantar dikesan sedang memetakan infrastruktur bawah laut milik UK di Laut Utara di mana sumber keselamatan mendedahkan negara itu hampir mengalami gangguan bekalan elektrik musim sejuk lalu dan hanya diselamatkan oleh rizab kecemasan serta import elektrik dari Denmark.

Lantaran itu, pakar menggesa agar setiap isi rumah di UK mencontohi pendekatan EU dengan menyediakan kit kecemasan sendiri yang perlu mengandungi bekalan air, makanan tahan lama, ubat-ubatan, radio berkuasa bateri, lampu suluh dan pisau pelbagai guna.

Sementara itu, Perancis juga sedang mengambil langkah serupa dengan merancang untuk mengedarkan buku panduan kecemasan kepada semua isi rumah sebelum musim panas ini di mana buku setebal 20 muka surat itu mengandungi 63 langkah keselamatan termasuk cara menyediakan kit kecemasan dan melindungi diri serta keluarga daripada serangan bersenjata, bencana alam, kemalangan industri atau kebocoran nuklear.

Buku panduan tersebut juga memberi panduan menghadapi situasi serangan, termasuk langkah menyertai pasukan simpanan atau kumpulan sukarelawan tempatan seperti bomba. Salah satu cadangan yang mencetuskan kontroversi ialah saranan supaya rakyat ‘mengunci pintu’ jika berlaku kebocoran nuklear – langkah yang dianggap tidak realistik oleh sesetengah pihak.

Presiden Emmanuel Macron sebelum ini telah memberi amaran Eropah perlu bersiap sedia menghadapi ‘ancaman Rusia’ dan bersedia jika Amerika Syarikat mengurangkan sokongan ketenteraan. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya