LONDON: Perang Gaza menyebabkan generasi muda Muslim Britain kecewa dan terasing, kata Ketua Liga Muslim Sedunia (MWL), sambil menyeru kerajaan United Kingdom (UK) menganggap isu integrasi sebagai keselamatan nasional.
Sheikh Mohammed Abdulkarim Al-Issa memberitahu The Times bahawa perpecahan antara Muslim dan bukan Muslim semakin buruk akibat konflik itu, membuka ruang untuk ekstremisme berkembang di kedua-dua belah pihak.
“Keadaan politik di luar (UK) tidak sepatutnya mengganggu integrasi di dalam,” tegasnya sambi menggesa kedua-dua pihak menumpukan isu tempatan yang menjadi keprihatinan bersama.
Al-Issa sebelum ini memberi amaran peningkatan Islamofobia mengancam keharmonian di UK.
Amaran Al-Issa disokong tinjauan MWL yang mendedahkan perbezaan ketara nilai dan persepsi antara Muslim dan bukan Muslim, terutama dalam kalangan belia.
Berdasarkan sampel 5,000 responden (termasuk 450 Muslim), belia Muslim Britain lebih terpinggir dari politik arus perdana dan kurang menganggap integrasi sebagai tanggungjawab penting.
Hampir 65 peratus Muslim menggambarkan hubungan mereka dengan bukan Muslim sebagai positif, berbanding kurang 25 peratus bukan Muslim yang berfikiran sama.
Hanya lima peratus bukan Muslim percaya agama berperanan dalam politik, berbeza dengan 20 peratus Muslim. Lebih 70 peratus Muslim melihat kepelbagaian sebagai perkara positif, berbanding 40 peratus bukan Muslim.
Kurang 10 peratus Muslim berusia 18-24 tahun menganggap UK sebagai negara bertoleransi, dengan majoriti menganggap kebimbangan British terhadap Islam berasaskan laporan media sensasi.
Al-Issa menekankan kepentingan dapatan ini memandangkan hampir separuh populasi Muslim UK berusia bawah 25 tahun dan kesan dasar luar Britain di Asia Barat.
“Jurang ini mewujudkan perpecahan yang dimanfaatkan ekstremis, baik Muslim mahupun bukan Muslim,” jelasnya yang memberi amaran kedua-dua pihak kini hidup dalam dunia berbeza.
Al-Issa menegaskan integrasi mesti menjadi teras dasar kerajaan UK demi mengelakkan ancaman keselamatan negara.