MARIUPOL: Seorang penjaga zoo maut selepas diserang seekor harimau belang putih yang jarang ditemui dalam satu insiden ngeri ketika memberi makan di Zoo Mariupol, Ukraine.
Mangsa, Alexey Melnikov, seorang pencinta haiwan yang amat berdedikasi, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah selepas diserang oleh harimau betina spesies Bengal yang dikenali sebagai Lucy.
Menurut kenyataan zoo, kemungkinan besar haiwan itu bertindak agresif kerana mahu melindungi empat ekor anaknya yang masih kecil.
Seorang lagi penjaga, Galina Zamarakhina, hampir menjadi mangsa tetapi sempat menyelamatkan diri.
“Saya berpaling dan bertanya kepada Lyosha (nama panggilan Alexey), ‘Di mana Lucy?’ Dia jawab, ‘Dalam kandang, saya sudah alihkan dia,” katanya kepada media.
Namun, malangnya Alexey dipercayai tersilap dan harimau tersebut masih berada dalam sarangnya yang diperbuat daripada kayu ketika memasuki kandang.
Pakaian mangsa yang berlumuran darah serta kesan darah ditemui dalam kandang berkenaan dan kini Pihak Komite Siasatan Rusia melancarkan siasatan jenayah berhubung insiden tersebut.
Alexey sebelum ini pernah muncul dalam satu wawancara televisyen di Rusia, menyatakan dia berhijrah ke Mariupol dari Crimea demi bekerja dengan haiwan.
Dia turut berkongsi rutin hariannya yang melibatkan kerja-kerja pembersihan dan pemindahan haiwan pemangsa dari satu kandang ke kandang lain sambil memastikan kawasan zoo sentiasa teratur serta bersih. -AGENSI