NAZARETH: Pengarah Hospital Kamal Adwan di Gaza, Dr Hussam Abu Safiya yang ditahan tentera Israel pada Disember lalu, dikurung dalam keadaan ‘tidak berperikemanusiaan’ dan berdepan ugutan fizikal serta psikologi, menurut peguamnya kepada AFP.
Abu Safiya, 52, pakar pediatrik yang terkenal selepas berkongsi keadaan kritikal hospitalnya di Beit Lahia semasa serangan Israel, ditahan pada 27 Disember apabila tentera Israel menyerbu hospital itu dan menuduhnya sebagai ‘ejen’ Hamas.
Peguamnya, Gheed Qassem yang melawat doktor itu di penjara Ofer di Tebing Barat pada 19 Mac, memberitahu AFP, Abu Safiya keletihan akibat penyeksaan dan tekanan untuk mengaku kesalahan yang tidak dilakukannya.
Tentera Israel tidak mengulas permintaan AFP mengenai keadaan tahanan tersebut.
Selepas dua minggu di kem tentera Sde Teiman di Gurun Negev, Abu Safiya dipindahkan ke Ofer. Qassem mendedahkan bahawa dia diseksa sepanjang soal siasat sebelum dikurung dalam sel sempit selama 25 hari.
Israel mengklasifikasikan Abu Safiya sebagai ‘pejuang haram’ tanpa had masa dan merahsiakan fail kesnya hingga menyukarkan pembelaan. Qassem juga membantah sekatan terhadap lawatan peguam, termasuk larangan memberitahu tahanan tentang perang atau lokasi mereka.
Pertemuan Qassem dengan Abu Safiya hanya dibenarkan selama 17 minit di bawah pengawasan ketat.
Undang-undang Israel 2002 membenarkan tahanan tanpa perbicaraan bagi individu yang dituduh ‘ancaman keselamatan’. Amnesty International pada Januari lalu menuntut pembebasan Abu Safiya, merujuk kepada penyeksaan sistematik terhadap tahanan Palestin.
Kempen #FreeDrHussamAbuSafiya disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan selebriti antarabangsa. Ketua WHO, Tedros Adhanom turut mendesak pembebasannya di X.
Kesihatan Abu Safiya merosot teruk dengan masalah jantung, penglihatan, dan kehilangan 20 kilogram dalam dua bulan. Empat tulang rusuknya patah semasa soal siasat tanpa rawatan sewajarnya.