BIRMINGHAM: Bandar kedua terbesar di Britain kini berdepan krisis kebersihan yang serius selepas mogok oleh kakitangan pembersihan bandar menyebabkan lebih 17,000 tan metrik sampah bertimbun di jalanan.
Situasi itu mendorong lonjakan kes gangguan haiwan perosak, dengan puluhan tikus dilaporkan sebesar kucing berkeliaran di kawasan perumahan.
Seorang pengawal makhluk perosak tempatan, Will Timms berkata, panggilan kecemasan meningkat lebih 50 peratus sejak mogok bermula.
“Bau busuknya tidak tertanggung daripada makanan-makanan reput. Tikus, lipas merayap keluar dari beg plastik.
“Di kawasan kejiranan Balsall Heath, longgokan sampah yang rosak menjadi tempat pembiakan tikus. Bagi tikus-tikus itu, ia ibarat restoran lima bintang lengkap dengan hotel,” katanya kepada CNN.
Mogok yang kini masuk bulan keempat tercetus selepas Majlis Perbandaran Birmingham memansuhkan satu jawatan dalam struktur kerja.
Menurut kesatuan pekerja Unite, tindakan itu menyekat kenaikan gaji serta menurunkan gaji sesetengah kakitangan dengan potongan mencecah 8,000 pound (RM35,825) setahun.
Majlis perbandaran menafikan dakwaan itu dan menegaskan tiada pekerja perlu kehilangan pendapatan, sambil menawarkan penempatan semula dan latihan.
Namun, sehingga kini, hanya separuh daripada jumlah lori sampah biasa masih beroperasi dan beberapa lori dilaporkan disekat oleh penunjuk perasaan.
Isnin lalu, pihak berkuasa mengisytiharkan keadaan tersebut sebagai insiden besar, membolehkan pelaksanaan tindakan kecemasan termasuk penggerahan lebih banyak lori kutipan sampah untuk menangani risiko kesihatan awam yang dikhuatiri semakin meruncing.