PHETCHABUN: Seorang pempengaruh media sosial terkenal di Thailand memohon maaf secara terbuka selepas menerima kecaman hebat daripada orang ramai berikutan tindakannya memakai jubah yang sering dikaitkan dengan orang Islam sambil mempromosikan hidangan daging babi di restorannya.
Charoensak ‘Tony’ Phosichai, 48, atau lebih dikenali sebagai Uncle Tony, mencetuskan kontroversi apabila memuat naik video di platform TikTok bagi mempromosikan restorannya yang terletak di wilayah Phetchabun, utara Thailand.
Dalam video berkenaan, Tony dilihat mengenakan jubah putih yang dikenali sebagai thawb atau thobe, iaitu pakaian tradisional yang lazimnya dipakai oleh masyarakat Islam ketika menunaikan solat, menghadiri majlis keagamaan atau acara penting.
Namun, apa yang menimbulkan kemarahan netizen adalah apabila Tony dilihat memegang dan menyajikan daging babi panggang iaitu makanan yang diharamkan dalam Islam sambil memakai pakaian berkenaan.
Rakaman berkenaan menunjukkan Tony menyajikan hidangan tersebut kepada pelanggan sambil mengajak pengikutnya hadir ke restorannya.
Video itu segera mengundang pelbagai reaksi negatif daripada pengguna media sosial, termasuk dalam kalangan penganut Buddha dan Islam.
Susulan itu, Tony bertindak memadam video berkenaan dan memuat naik video permohonan maaf.
“Saya Tony, saya ingin memohon maaf kepada semua umat Islam atas tindakan saya memakai pakaian tersebut ketika mempromosikan daging babi. Saya tidak berniat menghina sesiapa atau agama anda. Saya juga mempunyai ramai rakan dalam komuniti Islam. Saya telah pun memadam video tersebut dan dengan tulus ikhlas memohon maaf atas kesilapan saya,” katanya.
Tony turut menjelaskan pakaian tersebut dibelinya ketika melancong ke Dubai dan pernah dipakai untuk sesi fotografi di padang pasir.
Katanya, dia memakainya semula semata-mata untuk berseronok sempena sambutan Songkran.