Peminat rugi RM11.64 juta terpedaya scam tiket konsert Oasis

Peminat rugi RM11.64 juta terpedaya scam tiket konsert Oasis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Peminat kumpulan rock terkenal Oasis di United Kingdom (UK) mengalami kerugian lebih 2 juta pound (RM11.64 juta) akibat penipuan tiket, kebanyakannya berlaku di platform Facebook, menurut bank Lloyds.

Peminat Oasis menjadi sasaran gelombang penipuan tiket di media sosial, menjelang konsert jelajah UK musim panas ini yang pertama sejak tahun 2009, lapor bank tersebut dalam satu kenyataan.

Kegilaan mendapatkan tiket bermula selepas pengumuman pada Ogos tahun lalu bahawa adik-beradik Noel dan Liam Gallagher sudah berdamai selepas 15 tahun bermusuhan dan bersetuju untuk bersatu semula bagi konsert jelajah seluruh dunia.

Kumpulan yang terkenal dengan lagu-lagu seperti Wonderwall, Don’t Look Back In Anger dan Champagne Supernova itu akan memulakan jelajah semula mereka pada 4 Julai di Cardiff, diikuti Manchester seminggu kemudian.

Lokasi konsert lain termasuk Buenos Aires, Chicago, London, Sydney, Tokyo dan Toronto.

Lloyds menjelaskan penipuan tiket biasanya berlaku dalam dua gelombang, pertama semasa tiket mula dijual dan sekali lagi apabila tarikh konsert semakin hampir.

Berdasarkan data pelanggan mereka, Lloyds menganggarkan sekurang-kurangnya 5,000 orang di UK telah menjadi mangsa, dengan kerugian secara purata sekitar 436 pound (RM2,536) setiap orang.

Bank itu turut menambah, lebih 90 peratus kes penipuan bermula dengan iklan palsu, hantaran, atau senarai jualan palsu di platform milik Meta, terutamanya Facebook.

Pengarah Pencegahan Penipuan Lloyds, Liz Ziegler menggesa platform media sosial supaya bertindak lebih tegas terhadap penipuan yang melanggar garis panduan mereka sendiri.

Bulan lalu, pihak berkuasa persaingan pengguna UK melaporkan, ramai peminat Oasis mungkin tertipu membeli tiket ‘platinum’ yang sebenarnya tidak memberikan sebarang kelebihan.

Pihak Berkuasa Persaingan dan Pasaran kini menyiasat ejen tiket Ticketmaster selepas kemarahan orang ramai terhadap harga tiket yang terlalu mahal untuk konsert reunion itu.

Ticketmaster dilaporkan telah menjual lebih 900,000 tiket.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya