PATTAYA: Seorang pelancong British kini kritikal di unit rawatan rapi selepas dipercayai bermain permainan maut Russian roulette di sebuah hotel berdekatan Pattaya, Thailand.
Mangsa, Michael James Ward, 30, dari Birkenhead, Merseyside, dipercayai menghisap ganja dan menghidu gas ketawa (nitrous oxide) bersama rakannya pada malam Selasa lalu sebelum insiden tragis itu berlaku.
Menurut laporan, mangsa yang berada dalam keadaan euforia akibat gabungan dadah tersebut secara tiba-tiba mula bermain Russian roulette menggunakan sepucuk revolver berkaliber .38.
Pada cubaan pertama, pistol berkenaan tidak melepaskan tembakan, namun peluru telah dilepaskan pada cubaan kedua, tepat mengenai dahinya.
Rakan mangsa, Alichanovas Emilijus, 29, warga Lithuania, yang turut berada di hotel berkenaan berkata dia mendengar bunyi tembakan dan segera menghubungi ambulans sekitar pukul 9.36 malam waktu tempatan.
Pasukan perubatan yang tiba di lokasi mendapati mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah namun masih bernyawa sebelum dikejarkan ke hospital berdekatan dan kini dilaporkan kritikal.
Polis menemui beberapa barang bukti di tempat kejadian termasuk satu silinder nitrous oxide, belon yang telah digunakan, sepucuk revolver, dan satu kelongsong peluru yang telah digunakan.
Ketua Polis Stesen Pattaya City, Kapten Pansan Klongsit berkata, pihaknya telah meminta bantuan forensik dari Chonburi untuk menjalankan siasatan lanjut, termasuk mengesan sisa bedil pada tangan rakan sebilik mangsa.
“Rakan sebilik mangsa dibawa untuk disoal siasat bagi membantu siasatan mengenai bagaimana mangsa boleh memiliki senjata api tersebut,” katanya.
Jurucakap Pejabat Hal Ehwal Luar dan Komanwel (FCDO) United Kingdom memaklumkan pihaknya sedang memberikan bantuan konsular kepada mangsa dan berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan.