SYDNEY: Lima maut, manakala dua lagi dikhuatiri hilang selepas ombak besar melanda Pantai Timur Australia, menyaksikan pihak berkuasa mengeluarkan amaran keselamatan.
Semalam, anggota perkhidmatan kecemasan menyelamatkan seorang lelaki berhampiran Tathra di selatan New South Wales, sehari selepas seorang nelayan berusia 58 tahun dan dua lelaki lain terkorban dalam insiden berasingan di seluruh negeri.
Usaha mencari dan menyelamat seorang lelaki yang ditarik ombak berhampiram Sydney masih diteruskan setakat ini.
Di Victoria, seorang wanita ditemui lemas, manakala seorang lelaki dilaporkan masih hilang selepas ditarik ombak berhampiran San Remo.
Polis Victoria berkata, seorang wanita daripada kumpulan itu berjaya menyelamatkan diri dan kembali ke pantai, manakala mangsa lain dilaporkan hilang.
Perdana Menteri Victoria, Jacinta Allan, menyifatkan kejadian yang berlaku itu sebagai ‘permulaan yang mengerikan’ pada hujung minggu perayaan Paskah (Easter).
Negeri-negeri di timur Australia kini berdepan fenomena ombak besar dan berbahaya, mendorong amaran larangan mengunjungi pantai dikeluarkan pihak berkuasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Surf Life Saving Australia, Adam Weir, mendesak pihak berwajib untuk menempatkan anggota bagi memantau kawasan pantai, dengan memetik data sebelum ini merekodkan 630 orang lemas sepanjang dekad yang lalu.
“Lokasi pantai yang tidak ‘ditandakan’ ini boleh mengundang bahaya. Itulah sebabnya kami memberikan nasihat yang mudah iaitu berhenti, lihat, terus hidup,” katanya.