WASHINGTON: Negara anggota Kesatuan Eropah (EU) bersedia membalas tarif perdagangan yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump, dengan melaksanakan tarif balas terhadap barangan import dari Amerika Syarikat (AS) dianggarkan bernilai AS$28 bilion (RM125 bilion).
Langkah EU itu sekali gus menyertai China dan Kanada dalam mengenakan tarif balas terhadap AS, yang berpotensi meningkatkan ketegangan dan mencetuskan perang perdagangan besar-besaran.
Blok 27 negara itu berdepan 25 peratus tarif import ke atas keluli, aluminium dan kenderaan, serta tarif balas setimpal sebanyak 20 peratus bermula Rabu bagi hampir semua barangan lain.
Tarif dikenakan oleh Trump meliputi kira-kira 70 peratus daripada jumlah eksport EU ke AS, bernilai AS$585 bilion (RM2.6 trilion) pada tahun lalu – dengan duti tambahan terhadap tembaga, produk farmaseutikal, semikonduktor dan kayu dijangka menyusul.
Suruhanjaya Eropah, yang menyelaraskan dasar perdagangan EU, akan mencadangkan senarai produk AS untuk dikenakan duti tambahan sebagai tindak balas kepada tarif keluli serta aluminium, dan bukan keseluruhan barang terlibat dalam levi timbal balik.
Antara barangan dari AS yang bakal dikenakan tarif termasuk daging, bijirin, wain, kayu, pakaian, gula-gula getah, flos gigi, pembersih vakum dan tisu tandas.
Satu daripada produk yang mendapat perhatian khusus dan mencetuskan perbezaan pendapat dalam kalangan negara anggota EU adalah bourbon.
Suruhanjaya Eropah mencadangkan tarif 50 peratus ke atas minuman keras itu, mendorong Trump mengancam tarif balas 200 peratus terhadap minuman beralkohol dari EU sekiranya tindakan tersebut diteruskan.
EU, yang ekonominya bergantung kepada perdagangan bebas, berusaha memastikan sebarang tindak balas mendapat sokongan menyeluruh.