Mesin pencuci rambut AI 'caras' pekerja salun di China - Utusan Malaysia

Mesin pencuci rambut AI ‘caras’ pekerja salun di China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUANGZHOU: Revolusi kecerdasan buatan (AI) kini turut menembusi industri dandanan rambut apabila sejumlah salun di China memperkenalkan mesin mencuci rambut automatik berasaskan AI yang mampu membersihkan rambut pelanggan dalam tempoh hanya 13 minit.

Fenomena ini yang digelar sebagai “AI-shampooing craze”V oleh media tempatan, menyaksikan penggunaan meluas mesin inovatif tersebut di beberapa daerah di Wilayah Guangzhou, termasuk di Tianhe yang merupakan kawasan tumpuan penduduk bandar.

Menurut pemilik sebuah salun di daerah itu, mesin berkenaan dilengkapi dengan penderia inframerah yang dapat mengesan keadaan kulit kepala pelanggan serta memilih jenis syampu dan kaedah cucian yang sesuai mengikut jenis rambut pengguna.

Antara ciri utama yang ditawarkan termasuk beberapa mod cucian seperti cucian pantas, biasa, tambahan masa, serta cucian air sahaja, selain tiga tahap urutan kulit kepala yang berbeza-beza.

Mesin tersebut juga direka untuk menyesuaikan mod cucian mengikut panjang rambut, sama ada pendek atau panjang.

Ketika pertama kali diperkenalkan, perkhidmatan cucian automatik itu hanya dikenakan bayaran sebanyak 9.9 yuan (RM6.50), namun akibat permintaan yang meningkat, harganya kini mencecah 19 yuan (RM12.50) untuk setiap sesi.

Walau bagaimanapun, meskipun mendapat sambutan hangat, perkhidmatan berasaskan AI itu menerima pelbagai reaksi daripada pengguna.

“Ada yang kata urutan kulit kepalanya menyakitkan, dan ada juga yang mendakwa cucian mesin itu tidak menyeluruh, hingga terpaksa mencuci semula secara manual,” lapor portal berita China.

Seorang pengguna platform media sosial Weibo berkata mesin cuci rambut tersebut tidak berguna sehingga menyebabkan Kulit kepalanya sakit manakala seorang lagi pula berkata ia hanya sembur buih dan bilas dengan air, tapi bahagian belakang kepala langsung tak bersih.

Namun begitu, ramai bersetuju pada kadar harga yang sangat berpatutan, perkhidmatan ini sekurang-kurangnya wajar dicuba, terutama bagi mereka yang ingin merasai kemudahan teknologi canggih dalam rutin penjagaan rambut seharian. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya