WASHINGTON: Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg, tampil sebagai saksi pada hari pertama perbicaraan antimonopoli terbesar bagi mempertahankan syarikatnya daripada dakwaan menguasai pasaran media sosial secara haram.
Perbicaraan ini boleh memaksa gergasi teknologi itu melepaskan Instagram dan WhatsApp, syarikat permulaan yang dibeli Meta lebih sedekad lalu dan kini menjadi kuasa utama media sosial.
Peguam Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC), Daniel Matheson, memanggil Zuckerberg sebagai saksi pertama bagi membuktikan Meta memperoleh Instagram dan WhatsApp untuk mengekalkan monopoli dalam ruang rangkaian sosial.
Dalam perbicaraan, Matheson menumpukan pada komunikasi dalaman Zuckerberg yang menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap perkembangan aplikasi perkongsian foto syarikat untuk bersaing dengan Instagram.
“Cara saya membaca mesej ini ialah saya tidak berpuas hati dengan pelaksanaan projek itu,” kata Zuckerberg.
Matheson bertanya sama ada ia disebabkan pertumbuhan pesat Instagram.
“Itu nampaknya apa yang saya tekankan,” jawab Zuckerberg sambil menambah beliau sentiasa mendorong pasukannya untuk menjadi lebih baik.
Zuckerberg kelihatan tidak senang apabila Matheson bertanya tentang kebimbangannya terhadap perkembangan Instagram.
Matheson juga mempersoalkan kenyataan tentang rancangan mengekalkan Instagram sambil menumpukan pada Facebook tanpa pelaburan besar. Zuckerberg menegaskan ia bukan rancangan formal dan Instagram tidak diabaikan.
Dalam pembukaan kes, Matheson mendakwa Meta menggunakan kedudukannya untuk meraih keuntungan besar walaupun kepuasan pengguna merosot dan menyifatkan pembelian kedua-dua syarikat permulaan itu sebagai usaha membina ‘benteng pertahanan’ untuk kepentingan monopoli.
Tuntutan difailkan terhadap Meta (ketika itu Facebook) pada 2020, mendakwa pembelian Instagram dan WhatsApp bertujuan menyekat persaingan.
Meta bukan satu-satunya syarikat teknologi berhadapan tindakan antimonopoli. Google dan Amazon juga berdepan kes masing-masing, dengan fasa pemulihan kes Google dijadualkan bermula 21 April ini.