SURABAYA: Tindakan tidak bertanggungjawab pemilik syarikat jentera berat Indonesia, Jan Hwa Diana mencetuskan kontroversi selepas laporan mendedahkan pekerjanya akan dipotong gaji jika keluar menunaikan solat Jumaat.
Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Nasaruddin Umar, yang mengakui belum menerima laporan rasmi mengenai dakwaan pelanggaran tersebut menyatakan kesediaannya untuk menyiasat kes berkenaan.
“Saya akan menyiasat (kes ini), cuma laporan itu belum sampai kepada saya,” tegasnya seperti dipetik oleh media Indonesia pada Ahad.
Seorang bekas pekerja UD Sentosa Seal, Peter Evril Sitorus, mendedahkan beberapa rakan sekerjanya yang beragama Islam dikenakan potongan gaji sebanyak 10,000 rupiah (RM3) setiap kali mereka keluar menunaikan solat Jumaat.
“Memandangkan saya bukan Islam, saya tidak tahu butiran sebenar. Tapi saya tahu ada potongan 10,000 rupiah setiap Jumaat jika mereka solat,” kata Peter di Balai Polis Pelabuhan Tanjung Perak, Surabaya.
Peter juga menyatakan dia hanya menerima gaji harian sebanyak 80,000 rupiah (RM24), yang didakwanya tidak seimbang dengan beban kerja.
Seorang lagi bekas pekerja, yang keterangannya dikongsi di akaun Instagram rasmi Timbalan Datuk Bandar Surabaya, Armuji, mengesahkan potongan gaji itu. Beliau menjelaskan potongan dikenakan jika solat Jumaat melebihi waktu rehat yang ditetapkan syarikat.
“Apabila kami solat Jumaat, ia mengambil masa lebih lama daripada waktu rehat yang diberikan. Jadi, 10,000 rupiah itu dianggap sebagai ganti rugi untuk masa tambahan,” katanya.
Selain potongan berkaitan solat, Jan Hwa Diana juga dituduh melakukan amalan eksploitasi lain seperti mengenakan denda berat jika ada pekerja yang tidak hadir.
“Ada potongan jika tidak hadir sehari iaitu potongan gaji bersamaan dua hari. Dendanya 150,000 rupiah (RM45), sedangkan gaji sehari hanya 80,000 rupiah,” katanya.