Mahkamah Korea Selatan lucut jawatan Suk Yeol sebagai Presiden

Mahkamah Korea Selatan lucut jawatan Suk Yeol sebagai Presiden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Selepas berbulan-bulan krisis politik yang tercetus akibat pengisytiharan darurat tentera yang gagal, Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan memutuskan melucutkan jawatan  Yoon Suk Yeol sebagai Presiden.

Keputusan Mahkamah Perlembagaan itu serta-merta menggugurkan semua kuasa dan keistimewaan Suk Yeol termasuk pasukan keselamatannya dan beliau diwajibkan meninggalkan kediaman rasmi Presiden.

Beliau juga hilang kekebalan eksekutif dan perlu berdepan perbicaraan jenayah yang panjang dan rumit atas pertuduhan pemberontakan, yang boleh membawa hukuman penjara atau bahkan hukuman mati sekiranya didapati bersalah.

Berikutan keputusan itu, pilihan raya presiden baharu mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.

Minggu pertama bulan Jun dijangka menjadi tarikh paling sesuai, menurut media tempatan dan pihak berkuasa akan mengumumkan tarikh rasmi dalam masa terdekat.

Berbeza dengan pilihan raya biasa, di mana presiden yang menang mempunyai tempoh peralihan selama dua bulan, pemenang pilihan raya khas ini akan terus mengangkat sumpah jawatan pada keesokan harinya.

Suk-yeol, 64, digantung tugas oleh ahli Parlimen berikutan cubaan beliau untuk menumbangkan pemerintahan awam pada 3 Disember lalu, yang menyaksikan askar bersenjata dikerahkan ke Parlimen.

Beliau juga ditangkap atas tuduhan pemberontakan dalam kes jenayah berasingan.

“Memandangkan kesan negatif yang serius dan akibat meluas daripada pelanggaran perlembagaan responden…(kami) memecat Presiden Yoon Suk-yeol,” kata Pemangku Presiden Mahkamah, Moon Hyung-bae, ketika membacakan keputusan itu, semalam.

Keputusan mahkamah menyatakan, tindakan Suk-yeol melanggar prinsip asas kedaulatan undang-undang dan tadbir urus demokratik.

“Menghantar askar bersenjata ke parlimen dalam usaha untuk menghalang ahli Parlimen daripada mengundi dekrinya, melanggar prinsip berkecuali politik angkatan tentera.

“Beliau mengerahkan tentera untuk tujuan politik, akhirnya tindakan responden yang tidak berperlembagaan dan menyalahi undang-undang adalah pengkhianatan terhadap amanah rakyat serta pelanggaran serius yang tidak boleh diterima,” kata hakim.

Suk-yeol adalah pemimpin Korea Selatan kedua yang dipecat oleh mahkamah selepas Park Geun-hye pada 2017.

Buat masa ini, Perdana Menteri, Han Duck-soo menjalankan tugas sebagai pemangku Presiden, satu peranan yang disambung minggu lalu selepas Mahkamah Perlembagaan menolak pemecatannya.

Korea Selatan mengharungi empat bulan tanpa ketua negara yang berkesan sejak pengisytiharan undang-undang tentera, selepas pembangkang memecat pemangkunya, yang kemudian dikembalikan ke jawatan itu melalui keputusan mahkamah.

Kekosongan kepemimpinan berlaku di tengah pelbagai krisis dan cabaran, termasuk bencana penerbangan serta kebakaran hutan paling dahsyat dalam sejarah negara.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya