MANILA: Gunung berapi Kanlaon dilaporkan meletus pada awal pagi Selasa, mencetus hujan abu vulkanik di beberapa kawasan berdekatan, menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs).
Ketua Bahagian Pemantauan Gunung Berapi dan Ramalan Letusan Phivolcs, Mariton Bornas memaklumkan, hujan abu direkodkan di beberapa kawasan perkampungan di bahagian barat gunung berapi tersebut.
“Setakat ini, kami telah menerima laporan mengenai hujan abu di bahagian barat gunung berapi,” katanya dalam satu temu bual bersama Radyo 630.
Dalam satu kenyataan berasingan pada Isnin, Pejabat Pertahanan Awam (OCD) turut mengesahkan kehadiran hujan abu di beberapa kawasan perkampungan di wilayah Negros termasuk Sag-Ang di La Castellana, Yubo, Haguimit dan Ara-al di La Carlota City serta Ilijan di Bago City.
Menurut Bornas, letusan gunung berapi Kanlaon berlaku selama kira-kira 56 minit, dengan tiang abu setinggi 4,000 meter terhambur dan bergerak ke arah barat daya.
Namun begitu, beliau menjelaskan bahawa letusan kali ini adalah lebih kecil berbanding yang direkodkan pada Disember tahun lalu.
Gunung Kanlaon kini masih berada pada tahap amaran ketiga, yang menandakan aktiviti magmatik tidak stabil dan berpotensi untuk letusan berbahaya.
Di bawah tahap ini, Phivolcs mengesyorkan agar penduduk dalam lingkungan enam kilometer dari puncak gunung berapi segera dipindahkan.
Agensi itu turut melarang penerbangan di kawasan berhampiran dan penduduk turut dinasihatkan agar berwaspada terhadap risiko seperti letusan secara tiba-tiba, aliran lava dan runtuhan batu yang berbahaya terutamanya semasa hujan lebat.
Phivolcs menggesa orang ramai agar mematuhi amaran keselamatan dan mengikuti perkembangan terkini daripada pihak berkuasa tempatan.-AGENSI