ALIGARH: Seorang lelaki berusia 20 tahun dari daerah Aligarh, Uttar Pradesh, India mencetuskan kekecohan apabila melarikan diri bersama bakal ibu mentuanya yang berusia 40 tahun sebelum majlis perkahwinannya berlangsung minggu ini.
Rahul dan tunangnya, Shivani, masing-masing berusia 20 tahun, dijadualkan disatukan dalam sebuah majlis pada 16 April ini dan segala persiapan dibuat, kad jemputan sudah diedarkan dan para saudara-mara sudah mengesahkan kehadiran.
Namun, malang tidak berbau kerana pada 6 April lalu, Rahul keluar dari rumah dengan alasan untuk membeli pakaian perkahwinan tetapi dia tidak pulang malah pemuda itu menghubungi bapanya pada malam yang sama dan memberitahu dia membuat keputusan untuk ‘pergi jauh’ dan meminta keluarganya tidak mencarinya lagi.
Shivani mendapati ibunya, Anita, turut menghilangkan diri pada waktu yang sama bersama semua wang simpanan keluarga dan kedua-duanya dipercayai telah melarikan diri bersama.
Lebih memburukkan keadaan, wang simpanan pasangan muda itu yang dirancang untuk digunakan sempena majlis perkahwinan turut dibawa lari oleh Anita dan Rahul, meninggalkan Shivani dan bapanya, Kumar, dalam keadaan papa kedana.
“Saya sepatutnya berkahwin dengan Rahul pada 16 April ini. Tapi ibu saya sendiri telah melarikan diri bersamanya. Mereka kerap bercakap di telefon sejak tiga atau empat bulan lalu,” kata Shivani kepada wartawan tempatan.
Kumar, suami kepada Anita, yang menjalankan perniagaan di Bengaluru dan jarang berada di rumah, turut mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu Rahul lebih banyak berkomunikasi dengan isterinya.
“Saya ada cuba hubungi Anita berkali-kali, tapi telefonnya dimatikan. Saya juga hubungi Rahul, tetapi dia menafikan isterinya bersama dengannya. Beberapa jam kemudian, barulah dia mengaku. Katanya saya telah menyusahkan isteri saya selama 20 tahun dan saya perlu ‘lepaskan’ dia,” kata Kumar dalam nada kecewa sambil menambah dia sudah membuat laporan orang hilang kepada polis.
Shivani turut memaklumkan ibunya dan Rahul pernah bersembang sehingga 22 jam sehari, selama beberapa bulan kebelakangan ini namun, tiada siapa yang mahu menimbulkan syak wasangka memandangkan majlis perkahwinan semakin hampir.
Insiden ini mendapat perhatian meluas dalam kalangan penduduk setempat dan menjadi bualan hangat di media sosial, terutama kerana pengkhianatan yang dilakukan bukan sahaja oleh bakal pengantin lelaki, tetapi turut melibatkan ibu kandung kepada pengantin perempuan sendiri. -AGENSI