PRAYAGRAJ: Seorang lelaki di India ditahan selepas disyaki menyamar sebagai doktor dari Britain dan melakukan pembedahan tanpa kebenaran yang didakwa menyebabkan kematian tujuh pesakit.
Narendra Vikramaditya Yadav dilaporkan menyamar sebagai pakar kardiologi terkemuka dari Hospital St George di United Kingdom (UK), Dr. N John Camm dan menggunakan kelayakan perubatan palsu untuk bekerja di beberapa hospital di seluruh India selama hampir dua dekad.
Pada Isnin, beberapa jam sebelum beliau ditahan, Yadav menghantar notis undang-undang bernilai 50 juta rupee (RM2.5 juta) kepada 12 individu dan penerbit yang mendakwa beliau menyamar sebagai doktor kardiologi lain.
Kes ini mula dikesan pada Februari lalu apabila jawatankuasa kebajikan kanak-kanak di Damoh melaporkan kematian beberapa pesakit kepada pihak berkuasa daerah.
“Kami menjadi curiga dengan kepakaran beliau dan memeriksa kelayakan beliau dalam talian, dan mendapati beliau mempunyai kes di sekurang-kurangnya tiga negeri,” kata Presiden Jawatankuasa Kebajikan Kanak-Kanak Daerah, Deepak Tiwari.
Polis akhirnya menahan beliau di bandar Prayagraj, Uttar Pradesh pada petang Isnin di mana menurut ketua Polis daerah, Shrut Kirti Somvanshi, lelaki berusia 53 tahun itu terlibat dalam 64 kes pembedahan, termasuk 45 kes angioplasti yang menyebabkan tujuh kematian pesakit.
Polis percaya dokumen kelayakan Yadav dipalsukan kerana tiada butiran penting seperti nombor pendaftaran unik yang diberikan kepada setiap pelajar.
Pihak berkuasa turut mengesahkan Yadav terlibat dalam beberapa siasatan lain, termasuk ditahan pada 2019 kerana disyaki menculik seorang doktor Britain yang dijemput bekerja di sebuah hospital di Hyderabad. – AGENSI