TEXAS: Seorang lelaki didakwa telah mencekik isterinya hingga mati dan meninggalkan mayat tersebut di dalam kereta semasa menghadiri temuduga pekerjaan sebelum ditahan polis, bulan lalu.
Dokumen mahkamah mendedahkan Jorge Mares Raygoza, 47, mendapati isterinya Coral Llamas Sifuentes, 45, telah menjalin hubungan sulit selama dua tahun. Setelah pulang ke rumah tiga hari kemudian, Raygoza berdepan dengan isterinya mengenai perbuatan itu.
Dokumen itu mendakwa Raygoza kemudian mencekik Sifuentes selama kira-kira 30 minit, sebelum mengenakan pakaian pada mayatnya dan meletakkannya di kerusi belakang kereta isterinya sebelm pergi ke temuduga pekerjaan.
Pegawai yang menyiasat kematian itu mendakwa Raygoza memandu melintasi sempadan Amerika Syarikat (AS)-Mexico ke bandar berdekatan Juarez, lapor Mirror.
Menurut ABC-7, kamera rakaman menangkap Raygoza melintasi sempadan dengan kereta isterinya pada 21 Mac sebelum kembali dua jam kemudian. Apabila kenderaan itu dilihat semula, ia kelihatan seolah-olah telah melalui kawasan gurun.
Dokumen mahkamah menyatakan Raygoza mencari pelbagai artikel mengenai isterinya dalam hari-hari selepas kematiannya. Penyiasat mula menyelidik kematian Sifuentes setelah dihubungi Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) memandangkan mayatnya ditemui di Juarez.
Tambah dokumen itu, detektif percaya pembunuhan itu mungkin terjadi di Landry McKee Lane, AS seminggu sebelum Raygoza ditahan pada 28 Mac manakala pegawai terus menyiasat kes tersebut.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), kira-kira 16 juta wanita melaporkan mengalami keganasan pasangan sepanjang hayat mereka, dengan kebanyakan pertama kali mengalaminya sebelum usia 18 tahun.
Data CDC mengenai statistik jenayah AS menunjukkan satu daripada lima mangsa pembunuhan di negara itu dibunuh oleh pasangan intim.
“Laporan juga mendapati lebih separuh daripada mangsa pembunuhan wanita dibunuh oleh pasangan lelaki sama ada semasa atau bekas pasangan,” kata CDC.