SEOUL: Ketua Parti Demokratik Korea Selatan, Lee Jae Myung mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pemimpin utama parti pembangkang, sekali gus menguatkan spekulasi beliau bakal mengumumkan pencalonan dalam Pilihan Raya Presiden akan datang.
Kenyataan itu dibuat dalam satu mesyuarat kepimpinan parti yang disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube miliknya.
“Saya kini akan memulakan tugas baharu,” ujar Lee, 61, ringkas tanpa memberikan penjelasan lanjut atau pengesahan rasmi beliau akan bertanding dalam pilihan raya tersebut.
Jae Myung sebelum ini tewas tipis kepada bekas Presiden, Yoon Suk Yeol dalam Pilihan Raya Presiden 2022.
Perbezaan undi ketika itu tercatat sebagai paling kecil dalam sejarah negara namun, beliau bangkit semula dengan memimpin blok liberal meraih kemenangan besar dalam pilihan raya Parlimen tahun lalu.
Korea Selatan dijadual mengadakan Pilihan Raya Presiden pada 3 Jun depan, susulan selepas Mahkamah Perlembagaan mengesahkan keputusan pemecatan Suk Yeol atas pengisytiharan darurat tentera pada Disember lalu.
Berbeza dengan Parti Demokratik yang kini dilihat menumpukan tumpuan kepada Jae Myung sebagai calon tunggal, Parti Pemerintah, People Power masih belum menamakan calon rasmi dengan beberapa pemimpin utama menyatakan minat untuk bertanding.
Antaranya ialah Menteri Buruh, Kim Moon Soon, yang pada hari sama turut mengisytiharkan penyertaannya dalam persaingan jawatan tertinggi negara tersebut.
Moon Soon, yang dikenali dengan pendirian konservatif tegas dan pernah menyokong Suk Yeol, kini mendahului kalangan calon lain meskipun ketinggalan di belakang Jae Myung dalam tinjauan sokongan dua penjuru.
Dalam ucapan pengumuman pencalonannya, Moon Soon menyuarakan hasrat untuk memperkukuh hubungan keselamatan dengan Amerika Syarikat (AS) dan turut mengemukakan agenda berani berkaitan dasar nuklear negara.
“Sebagai tindak balas terhadap ancaman nuklear Korea Utara, saya akan menjadi pemimpin dunia dalam mempertahankan kebebasan dan hak asasi manusia dengan memperoleh keupayaan memproses bahan api nuklear dan membangunkan kapal selam berkuasa nuklear,” katanya.
Beliau menegaskan langkah memproses bahan api nuklear adalah satu fasa penting yang membuka laluan kepada pembangunan senjata nuklear, satu pendirian yang dijangka mencetuskan perdebatan geopolitik, khususnya dalam kalangan sekutu serantau Korea Selatan.