LONDON: Menurut satu kajian baharu, perubahan diet boleh mengurangkan kesakitan endometriosis bagi separuh daripada penghidap penyakit ini.
Tinjauan antarabangsa terbesar mengenai diet dan endometriosis melibatkan 2,599 orang, mendapati 45 peratus peserta yang berhenti mengambil gluten dan 45 peratus yang mengurangkan produk tenusu melaporkan pengurangan kesakitan.
Bagi wanita yang mengurangkan pengambilan kopi atau kafein, 43 peratus menyatakan kesakitan mereka berkurangan, manakala 53 peratus yang mengurangkan alkohol turut mengalami kesan yang sama.
Penulis kanan kajian dan Profesor Steroid Reproduktif di Universiti Edinburgh, Philippa Saunders berkata pihaknya hampir menemui sesuatu yang besar dalam memahami bagaimana diet mempengaruhi gejala endometriosis.
“Ini sangat bermakna bagi wanita yang ingin mengambil tindakan sendiri untuk mengatasi kesakitan mereka, ia memberi kuasa kepada mereka,” katanya.
Endometriosis berlaku apabila tisu yang menyerupai lapisan rahim tumbuh di bahagian lain badan. Penyakit ini menjejaskan satu dalam 10 wanita usia reproduktif di United Kingdom (UK).
Namun, penyelidikan tentang punca dan rawatannya masih terhad selain pembedahan (sering menjadi penyelesaian sementara) atau pengurusan gejala melalui kontraseptif hormon yang dielak ramai wanita kerana kesan sampingannya. Purata masa untuk diagnosis endometriosis adalah hampir tujuh tahun akibat kurang kesedaran.
Kajian yang diketuai Universiti Edinburgh dan diterbitkan dalam JAMA Network Open ini menyoal responden tentang perubahan diet dan suplemen yang digunakan untuk mengurangkan gejala. Penyelidik percaya pengurangan kesakitan selepas mengelakkan gluten atau tenusu mungkin berkaitan dengan perubahan bakteria usus.
Pengurangan kafein mungkin berkesan kerana ia mempengaruhi tidur, dan kesakitan sering terasa lebih teruk ketika keletihan. Manakala alkohol boleh memperburuk gejala kerana kesannya pada sel menyerupai estrogen iaitu hormon yang mencetuskan endometriosis.
Endometriosis kebanyakannya menyebabkan sakit di kawasan pelvis, terutama semasa haid, tetapi ramai pesakit juga melaporkan kesakitan pada saraf siatika, payudara, atau sakit sendi di seluruh badan.
Hampir 40 peratus responden melaporkan pengurangan kesakitan selepas mengelakkan makanan terproses seperti makanan sejuk beku, aiskrim, dan gula-gula yang diketahui mengubah bakteria usus.
Sementara hampir satu pertiga wanita mendapati gejala mereka bertambah baik selepas berhenti makan bawang putih dan bawang yang boleh mengurangkan kembung perut.
Ketua penyelidik dari Universiti Edinburgh, Francesca Hearn-Yeates berkata, wanita memerlukan apa sahaja yang boleh membantu mengurangkan kesakitan endometriosis.
Penasihat Endometriosis UK, Jo Hanley mencadangkan diet anti-radang seperti buah, sayur, kekacang, dan minyak zaitun, sementara mengelakkan gula halus, daging terproses, dan tenusu yang boleh mencetuskan keradangan.