LONDON: Pakar bedah di Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain (NHS) kini menggunakan kulit lembu bagi membantu menyembuhkan luka wajah serius yang disebabkan oleh kanser kulit agresif, satu pendekatan baharu yang dianggap bakal merevolusikan kaedah rawatan sedia ada.
Sebelum ini, pesakit yang menjalani pembedahan membuang tumor akan mengalami luka yang besar pada bahagian wajah kerana lazimnya, kulit dari bahagian badan lain akan diambil untuk menutup luka tersebut namun begitu, kaedah itu sering tidak sesuai untuk pesakit warga emas kerana risiko jangkitan yang tinggi.
Kini, kaedah rawatan terkini yang dibangunkan oleh Pakar Bedah Plastik Perunding, Elamurugan Arumugam dari West Suffolk NHS Foundation Trust, menawarkan penyelesaian lebih selamat dengan menggunakan tampalan kulit yang diperbuat daripada kolagen lembu.
Setakat ini, prosedur tersebut telah mencatatkan kadar kejayaan sebanyak 98 peratus dan telah diuji terhadap hampir 100 pesakit NHS.
Menurut kajian yang dibentangkan pada persidangan tahunan Persatuan Pakar Bedah Plastik, Rekonstruktif dan Estetik British tahun lalu, teknik itu berupaya menyembuhkan luka bersaiz sebesar bola tenis akibat pembuangan tumor kanser kulit.
Dianggarkan sebanyak 20,000 rakyat Britain menghidap melanoma, satu bentuk paling agresif kanser kulit setiap tahun dan penyakit yang mengancam nyawa ini kebiasaannya berpunca daripada pendedahan berlebihan kepada sinaran ultraungu (UV), sama ada daripada cahaya matahari atau penggunaan katil penyamakan kulit.
Selain kemoterapi dan radioterapi, pembedahan kekal sebagai kaedah utama untuk membuang sel kanser tersebut dan cara terbaharu ini melibatkan pembinaan lapisan kulit gantian yang diperbuat daripada kolagen, iaitu sejenis protein utama dalam pembentukan kulit diekstrak daripada lembu.
Tampalan kolagen tersebut akan dijahit atau digamkan pada luka, sebelum bergabung secara semula jadi dengan kulit dan saluran darah pesakit.
Pakar percaya teknik ini bakal digunakan secara meluas dalam sistem kesihatan NHS pada masa akan datang kerana hasilnya yang memberangsangkan dan risikonya yang rendah terutama dalam kalangan pesakit warga emas.
Inovasi ini bukan sahaja memberi kelegaan kepada pesakit, malah membuka lembaran baharu dalam dunia perubatan plastik dan rekonstruktif, menjadikan penggunaan bahan biologi daripada haiwan sebagai alternatif praktikal dalam merawat luka serius akibat penyakit berbahaya. – AGENSI