Kisah ibu tolak anak di buaian selama 40 jam tanpa henti kembali dibincangkan pengguna media sosial - Utusan Malaysia

Kisah ibu tolak anak di buaian selama 40 jam tanpa henti kembali dibincangkan pengguna media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARYLAND: Dalam satu insiden tragis yang menggemparkan penduduk setempat, seorang wanita muda yang menghidap penyakit mental ditemukan menolak buaian dinaiki anak lelakinya yang berusia tiga tahun selama hampir dua hari tanpa henti di sebuah taman permainan, di sini.

Lebih menyedihkan, perbuatan itu menyebabkan kanak-kanak berkenaan meninggal dunia akibat kekurangan air dan hipotermia.

Kejadian berlaku pada tahun 2015 di Wills Memorial Park, LaPlata, Maryland, Amerika Syarikat (AS) apabila Romechia Simms, 25, dilihat oleh orang awam berada di taman itu bersama anaknya, Ji’Aire Donnell Lee, dalam keadaan mencurigakan selama dua hari berturut-turut dalam cuaca sejuk melampau sebelum kanak-kanak malang itu ditemukan tidak bernyawa di atas buaian tanpa pakaian panas dan kasut.

Biarpun kes itu sudah lama berlaku, namun ia kembali hangat dibincangkan oleh pengguna media sosial ketika ini mengenai sistem yang dilihat gagal melindungi kanak-kanak tersebut.

Menurut pihak berkuasa, wanita terbabit memberitahu dia terus menolak buaian tersebut kerana mendakwa mendengar suara dalam kepalanya yang menyuruhnya berbuat demikian sehingga bantuan tiba.

Katanya, suara tersebut memberi amaran sesuatu yang buruk akan berlaku sekiranya dia menghentikan perbuatannya sebelum bantuan sampai malangnya, pada waktu itu, Ji’Aire sudah pun meninggal dunia.

Siasatan lanjut mendapati Romechia sebelum ini sudah dua kali dimasukkan ke hospital mental dan baru-baru ini disahkan menghidap skizofrenia paranoid selain dipercayai mengalami halusinasi dan paranoid mengenai dirinya serta anaknya sedang diekori dan dalam bahaya.

Antara kejadian terdahulu termasuk terjun keluar dari teksi bersama Ji’Aire kerana menyangka mereka sedang dikejar, serta membuat panggilan panik kepada ibunya mendakwa terdapat individu bersenjata di kediamannya.

Bapa Ji’Aire, James Lee, yang menyedari keadaan mental Romechia yang tidak stabil, pernah memohon hak penjagaan penuh terhadap anak mereka, namun permohonan itu ditolak oleh mahkamah yang memutuskan agar pasangan tersebut diberi hak jagaan bersama.

Pada hari kejadian, Romechia memaklumkan kepada ibunya dia ingin membawa Ji’Aire ke farmasi dan taman bagaimanapun, mereka tidak pulang dan gagal dihubungi selama dua hari sehingga menyebabkan panggilan kecemasan dilakukan oleh orang awam yang menyedari situasi aneh itu, sebelum pihak polis menemui tubuh kaku Ji’Aire di buaian.

Romechia kemudiannya didakwa bagi kesalahan penderaan kanak-kanak tahap pertama, pembunuhan tanpa niat, dan pengabaian kanak-kanak serta berdepan hukuman penjara sehingga 45 tahun jika disabitkan kesalahan.

Namun, pada perbicaraan tahun 2016, Romechia yang mengaku bersalah bagi tuduhan pembunuhan tanpa niat didapati tidak bertanggungjawab secara jenayah terhadap kematian anaknya kerana mengalami gangguan mental yang teruk ketika kejadian dan mahkamah memerintah dia dibebaskan di bawah syarat ketat termasuk rawatan kesihatan mental berterusan, tidak dibenarkan berada bersama mana-mana kanak-kanak tanpa pengawasan, serta perlu menjalani penilaian kesihatan secara berkala.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya