WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berada dalam keadaan kesihatan kognitif dan fizikal yang sangat baik, menurut doktor peribadinya di Rumah Putih.
Dalam pemeriksaan kesihatan tahunan pertama penggal kedua kepresidenannya di sebuah hospital di Washington Trump juga didapati mempunyai parut di telinga kanan akibat luka tembakan selepas percubaan pembunuhan pada Julai lalu.
“Presiden Trump kekal dalam keadaan kesihatan yang sangat baik, menunjukkan fungsi jantung, paru-paru, neurologi, dan fizikal yang kuat,” kata doktornya, Kapten Sean Barbabella, dalam satu memo.
Pada usia 78 tahun, Trump merupakan presiden paling tua yang memegang jawatan pada Januari lalu, walaupun pendahulunya, Joe Biden, lebih tua (82 tahun) ketika meninggalkan pejabat.
Menurut Dr. Barbabella, sebahagian daripada pemeriksaan perubatan selama hampir lima jam di Hospital Walter Reed, Bethesda, Maryland, Trump menjalani beberapa ujian darah, pemeriksaan jantung, dan ultrasound, pada Jumaat.
“Presiden Trump menunjukkan kesihatan kognitif dan fizikal yang sangat baik dan benar-benar layak melaksanakan tugas sebagai Panglima Tertinggi dan Ketua Negara,” tulisnya dalam memo yang dikeluarkan oleh Rumah Putih pada Ahad.
Trump juga menjalani ujian neurologi untuk menilai status mental, saraf, fungsi motor dan deria, serta refleks, dan tidak menunjukkan tanda-tanda kemurungan atau kebimbangan, menurut memo tersebut.
Ketika bercakap kepada pemberita di dalam Air Force One pada Sabtu, Trump berkata beliau menjawab semua soalan dengan betul dalam ujian kognitif itu.
“Secara keseluruhan, saya rasa saya dalam keadaan sangat sihat, jantung dan jiwa yang sangat baik,” katanya.
Beliau menambah bahawa doktor memberinya sedikit nasihat mengenai perubahan gaya hidup untuk meningkatkan kesihatannya, namun tidak memberikan butiran lanjut.