TOKYO: Impian seorang pemuda Jepun menikmati kereta mewah Ferrari 458 Spider yang diidamkan selama sedekad bertukar mimpi ngeri apabila kenderaan tersebut terbakar hanya selepas sejam dipandu buat pertama kali.
Insiden menyayat hati itu menimpa seorang penerbit muzik berusia 33 tahun yang dikenali sebagai Honkon, yang meluahkan rasa kecewa dalam laman sosial X selepas menyaksikan kereta bernilai 43 juta yen (RM1.42 juta) miliknya hangus dijilat api di Lebuh Raya Shuto, Tokyo, pada Rabu lalu.
Menurutnya, kereta Ferrari yang baru sahaja dihantar ke rumahnya itu dibawa keluar untuk ujian pandu apabila dia ternampak asap putih semasa memandu.
Pada awalnya dia menyangka asap itu berpunca daripada kenderaan lain di sebelahnya, namun sebaik sahaja kereta itu beredar, barulah jelas asap tersebut datang dari Ferrari miliknya.
“Saya terus berhentikan kereta, keluar dan hubungi bomba. Saya hanya mampu melihat kereta impian saya terbakar selama 20 minit,” katanya dalam hantaran yang disertakan gambar kereta tersebut terbakar.
“Saya rasa sayalah satu-satunya orang di Jepun yang mengalami nasib seperti ini. Saya habiskan 43 juta yen dan apa yang saya dapat hanyalah gambar ini,” tulisnya.
Pihak Polis Wilayah Metropolitan Tokyo memaklumkan tiada sebarang kesan pelanggaran dikesan pada kenderaan tersebut, namun siasatan masih dijalankan.
Sumber awal percaya kebakaran berpunca daripada enjin, namun puncanya masih belum dikenal pasti secara rasmi.
Meskipun sedih dengan apa yang berlaku, Honkon penerbit kepada kumpulan idola Jepun, Chocorabi bersyukur kerana terselamat daripada sebarang kecederaan.
“Saya takut kereta itu akan meletup. Mujur saya sempat keluar,” katanya yang turut menerima simpati dan kata-kata semangat daripada ribuan pengguna media sosial. – AGENSI