Kejutan harga beras, kobis tingkat inflasi di Jepun

Kejutan harga beras, kobis tingkat inflasi di Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Harga beras melonjak mendadak di Jepun dalam beberapa bulan kebelakangan ini, mendorong kerajaan untuk melepaskan sebahagian stok kecemasan ke pasaran buat pertama kali sejak tahun 1995.

Menurut kementerian, harga makanan segar dan tidak segar serta caj hotel turut meningkat namun yang paling mencuri tumpuan ialah beras, yang mencatatkan lonjakan harga sehingga 92.5 peratus, dipacu oleh kekurangan bekalan.

Antara faktor penyebab termasuk hasil tuaian yang buruk akibat cuaca panas tahun lalu, serta pembelian panik selepas amaran ‘megagempa’ yang mencetuskan kebimbangan awam.

Lonjakan pelancong asing turut dikatakan menyumbang kepada peningkatan permintaan, selain aktiviti ‘menyorokkan’ stok oleh peniaga.

Kerajaan telah melepaskan 210,000 tan beras sejak bulan lalu dan merancang untuk melelong tambahan 100,000 tan bulan ini.

Beras juga menjadi tumpuan dalam konflik perdagangan AS-Jepun, apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenakan tarif 24 peratus ke atas import dari Jepun, termasuk beras walaupun ia kini ditangguhkan.

Rumah Putih mendakwa Jepun mengenakan tarif 700 peratus ke atas beras dari AS, satu tuduhan yang disifatkan ‘tidak masuk akal’ oleh kementeri pertanian Jepun.

Tidak cukup dengan beras, harga kobis turut melonjak 111.6 peratus pada Mac berbanding tahun lalu, didorong oleh cuaca ekstrem yang menjejaskan hasil tanaman.

Media Jepun menyebut fenomena ini sebagai ‘kejutan kobis’.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Jepun melaporkan bahawa harga pengguna tidak termasuk makanan segar meningkat 3.2 peratus pada bulan Mac berbanding 3.0 peratus pada Februari, sejajar dengan jangkaan pasaran.

Apabila tenaga juga dikecualikan, inflasi meningkat kepada 2.9 peratus, naik dari 2.6 peratus bulan sebelumnya.

Namun, kadar inflasi keseluruhan menurun sedikit kepada 3.6 peratus daripada 3.7 peratus.

Perkembangan ini dijangka meningkatkan spekulasi bahawa Bank of Japan akan menaikkan kadar faedah, memandangkan inflasi kini telah melepasi sasaran dua peratus selama hampir tiga tahun berturut-turut.

Namun, ketidaktentuan dasar perdagangan Trump mungkin menyebabkan bank pusat kekal berhati-hati.

Peningkatan harga barangan keperluan ini meningkatkan tekanan terhadap kerajaan Perdana Menteri, Shigeru Ishiba untuk mengambil langkah segera membantu pengguna yang terkesan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya