Katy Perry catat sejarah jadi bintang pop pertama ke angkasa lepas - Utusan Malaysia

Katy Perry catat sejarah jadi bintang pop pertama ke angkasa lepas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Penyanyi tersohor Amerika Syarikat (AS), Katy Perry bakal mencipta sejarah apabila menjadi bintang pop pertama meneroka angkasa lepas menerusi misi penerbangan sub-orbital Blue Origin, NS-31 pada 14 April ini.

Penglibatan pelantun lagu Firework itu diumumkan pada Februari lalu oleh syarikat milik bilionair Jeff Bezos, Blue Origin, yang turut memaklumkan misi berkenaan akan menampilkan kru wanita sepenuhnya, pertama seumpamanya sejak era Kesatuan Soviet menghantar Valentina Tereshkova secara solo ke orbit pada tahun 1963.

Penerbangan bersejarah itu diketuai oleh wartawan Lauren Sanchez yang juga tunang kepada Bezos, bersama lima lagi wanita berpengaruh termasuk Katy, jurutera aeroangkasa Aisha Bowe, aktivis dan calon Hadiah Nobel Keamanan Amanda Nguyen, personaliti CBS Mornings Gayle King serta penerbit filem Kerianne Flynn.

Lauren dalam kenyataannya menyifatkan misi itu sebagai suatu pengalaman yang bakal “mengubah perspektif terhadap bumi” serta memberi inspirasi kepada generasi akan datang.

Misi NS-31 merupakan penerbangan berawak ke-11 bagi program New Shepard yang menyediakan peluang kepada orang awam untuk merasai sendiri pengalaman berada di sempadan angkasa dengan bayaran antara £157,029 hingga £235,544 (RM937,000 hingga RM1.4 juta).

Penerbangan tersebut hanya memakan masa selama 11 minit dengan menggunakan roket kawalan automatik, termasuk empat minit fasa apungan tanpa graviti yang membolehkan kru menikmati pemandangan kosmos kira-kira 65 batu dari permukaan bumi.

Bagaimanapun, memandangkan sempadan rasmi angkasa lepas atau garisan Kármán terletak pada ketinggian 62 batu, peserta misi ini secara teknikalnya tidak dikategorikan sebagai angkasawan sepenuhnya.

Dalam wawancara bersama majalah Elle, Katy meluahkan keterujaannya, sambil menyatakan beliau sudah lama menyimpan hasrat ke angkasa sejak hampir dua dekad lalu.

“Saya pernah mengkaji pelbagai pilihan penerbangan komersial ke angkasa. Malah, ketika Blue Origin mula bercakap tentang pelan perjalanan ke angkasa, saya terus berkata, ‘Daftarkan saya! Saya orang pertama dalam senarai’,” katanya.

Menurut penyanyi itu, pengembaraan ke angkasa ini didedikasikan buat anak perempuannya, Daisy yang berusia empat tahun, dalam usaha memberi inspirasi kepada generasi gadis cilik bidang sains juga boleh menjadi “glamor”.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya