TEXAS: Amerika Syarikat (AS) merekodkan kes kematian kedua akibat wabak demam campak, kata pihak berkuasa semalam.
Kes itu direkodkan di barat daya AS dengan hampir 650 orang kini dijangkiti penyakit berjangkit berkenaan.
“Kami amat dukacita melaporkan seorang kanak-kanak yang baru-baru ini didiagnosis dengan demam campak sudah meninggal dunia,” kata Naib Presiden UMC Health System, Aaron Davis, sebuah pusat perubatan di Texas kepada AFP.
Beliau berkata, kanak-kanak berkenaan menerima rawatan komplikasi demam campak di hospital, tidak diberi vaksin demam campak dengan keadaan kesihatannya tidak diketahui.
Ketika AS bergelut menangani wabak demam campak yang paling teruk dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, Setiausaha Kesihatan Presiden Donald Trump, Robert F Kennedy Jr, memperkecilkan kepentingan vaksin hingga menyebabkan timbul percanggahan pandangan membabitkan pakar kesihatan.
Bagaimanapun, Kennedy dalam satu hantaran berkata ‘cara paling berkesan untuk mencegah penyebaran demam campak ialah melalui vaksin MMR’.
Katanya, Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menyokong pengedaran suntikan vaksin itu di Texas.
Kennedy juga berkata, ketika kunjungannya ke Texas pada Ahad, sebanyak 642 kes demam campak disahkan di 22 negeri, 499 daripadanya di Texas.
Texas melaporkan kematian pertama akibat demam campak membabitkan seorang kanak-kanak pada akhir Februari lalu.
Ia adalah kematian pertama di AS akibat penyakit berkenaan dalam tempoh hampir sedekad.