BANGKOK: Buruh binaan dikejutkan dengan penemuan sejumlah rangka manusia ketika menggali tanah sekaligus mendedahkan penemuan sebuah kubur besar yang dipercayai menjadi lokasi pelaksanaan hukuman mati lebih dua abad lalu.
Penemuan itu berlaku berhampiran Hospital Siriraj di ibu negara Thailand, ketika kerja-kerja pembinaan projek sambungan Stesen MRT Laluan Jingga sedang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Pengangkutan Awam Massa Thailand (MRTA).
Setakat ini, lebih 70 rangka manusia ditemukan di tapak berkenaan, yang terletak di bawah Jambatan Arun Amarin.
Rangka-rangka tersebut ditemui dalam keadaan yang mencurigakan dengan ada yang terbaring meniarap, tangan dan kaki diikat sekali gus menimbulkan spekulasi bahawa mereka mungkin mangsa hukuman mati atau tahanan politik yang dibunuh secara kejam.
“Kedudukan rangka-rangka yang dijumpai amat luar biasa. Sebilangan besar didapati terikat pada tangan dan kaki, menunjukkan kemungkinan besar mereka dihukum mati secara berkumpulan,” ujar jurucakap MRTA dalam satu kenyataan.
Penemuan menggemparkan itu mencetuskan minat mendalam dalam kalangan ahli arkeologi, sejarawan dan masyarakat umum, yang kini mengikuti rapat perkembangan siasatan lanjut oleh Jabatan Seni Halus Thailand.
Pakar percaya rangka-rangka tersebut berkemungkinan besar berasal dari zaman pemerintahan Thonburi antara tahun 1767 hingga 1782, satu era yang sarat dengan konflik ketenteraan dan pembersihan politik susulan kejatuhan Kerajaan Ayutthaya.