Jeff Bezos bakal bawa tunang dan lima lagi ke angkasa lepas - Utusan Malaysia

Jeff Bezos bakal bawa tunang dan lima lagi ke angkasa lepas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pengasas Amazon dan jutawan teknologi, Jeff Bezos bakal menghantar tunangnya, Lauren Sánchez bersama lima lagi wanita ke angkasa lepas Isnin ini, dalam satu misi pelancaran oleh syarikat miliknya, Blue Origin.

Pelancaran yang akan menggunakan roket New Shepard itu akan membawa kru seramai enam orang wanita dalam penerbangan suborbital selama 11 minit, dari tapak pelancaran Blue Origin yang terletak 30 batu dari utara Van Horn, Texas.

Kru misi itu terdiri daripada aktivis hak sivil, Amanda Nguyen yang bakal menjadi wanita Vietnam pertama ke angkasa; pengacara CBS Mornings, Gayle King, penyanyi terkenal Katy Perry, penerbit filem, Kerianne Flynn, usahawan dan bekas saintis roket NASA, Aisha Bowe serta Sánchez sendiri yang juga merupakan seorang wartawan dan dermawan.

Meskipun misi ini digelar sebagai kru wanita pertama ke Garisan Kármán, sempadan rasmi angkasa pada ketinggian 62 batu namun ia bukanlah yang pertama secara teknikal sebelum ini, Kosmonaut Valentina Tereshkova telah meneroka angkasa seorang diri pada tahun 1963.

Bagi Bezos, misi ini bukan sekadar simbolik atau misi pelancongan angkasa sebaliknya merupakan sebahagian daripada saingan yang semakin hangat dengan jutawan terkemuka Elon Musk dalam industri penerbangan angkasa komersial.

Setakat ini, roket SpaceX keluaran Musk, iaitu Falcon 9, telah berjaya dilancarkan sebanyak 469 kali manakala Blue Origin hanya mencatatkan 31 pelancaran berjaya bagi roket New Shepard, termasuk 11 misi dengan anak kapal.

Awal tahun ini, Blue Origin melancarkan roket baharu yang lebih besar dan boleh digunakan semula, iaitu New Glenn, dari Cape Canaveral, Florida.

Roket itu dikatakan beroperasi seperti pesawat komersial, menggunakan bahan api lebih bersih dan mampu membawa beban sehingga 45 tan metrik ke orbit rendah bumi.

Namun begitu, SpaceX kekal sebagai pendahulu dalam ‘perlumbaan ke angkasa’ kerana selain melancarkan Falcon 9 dan Falcon Heavy, syarikat itu juga turut menghasilkan kapsul Dragon yang boleh membawa manusia dan kargo ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), serta membangunkan projek mega, Starship, sistem roket gergasi yang dijangka mampu membawa manusia ke Marikh.

Justeru, pelancaran yang dijadualkan pada hari Isnin ini bukan sekadar misi membawa wanita dengan solekan ke angkasa, tetapi ianya mungkin menjadi isyarat penting dalam saingan dua bilionair terkemuka dunia untuk menakluki sempadan terakhir umat manusia. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya