Israel ubah keterangan, mengaku tersilap bunuh paramedik Gaza - Utusan Malaysia

Israel ubah keterangan, mengaku tersilap bunuh paramedik Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Tentera Israel mengakuri kesilapan pasukan tenteranya dalam kejadian tembakan yang membunuh 15 petugas kecemasan dalam konvoi ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS), kenderaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dan sebuah trak bomba Jabatan Pertahanan Awam Gaza berhampiran Rafah pada 23 Mac lalu.

Awalnya, Israel mendakwa tenteranya menembak kerana konvoi itu ‘menghampiri secara mencurigakan’ dalam gelap tanpa lampu kenderaan atau lampu isyarat serta mendakwa pergerakan kenderaan tersebut tidak dikoordinasikan terlebih dahulu dengan pihak tentera.

Namun, rakaman telefon bimbit oleh seorang daripada petugas yang terbunuh menunjukkan kenderaan tersebut sebenarnya memasang lampu ketika bergerak untuk membantu mangsa yang cedera.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa sekurang-kurangnya enam paramedik mempunyai kaitan dengan Hamas namun, sehingga kini tidak memberikan sebarang bukti. Mereka mengakui mangsa tidak bersenjata ketika ditembak.

Rakaman video yang dikongsi The New York Times menunjukkan konvoi berhenti di jalan sebelum tembakan dilepaskan tanpa amaran sebelum subuh. Rakaman selama lebih lima minit itu mendedahkan suara paramedik, Refat Radwan, membaca doa terakhir sebelum suara askar Israel kedengaran menghampiri kenderaan.

Seorang pegawai IDF memberitahu pemberita bahawa askar mereka sebelum itu menembak kereta yang membawa tiga anggota Hamas. Apabila ambulans tiba di lokasi, pemantau udara melaporkan konvoi itu bergerak secara mencurigakan.

Menurut pegawai itu, apabila ambulans berhenti berhampiran kereta Hamas, askar menyangka mereka dalam bahaya lalu melepaskan tembakan walaupun tiada bukti pasukan kecemasan membawa senjata.

Israel mengakui laporan awal mereka tentang kenderaan tanpa lampu adalah tidak tepat, dan menyalahkan pasukan di lapangan atas maklumat itu.

Rakaman video menunjukkan kenderaan itu mempunyai tanda kecemasan yang jelas, dan paramedik memakai pakaian keselamatan berwarna terang.

Pegawai itu juga menyatakan askar Israel menanam mayat 15 petugas itu dalam pasir untuk melindunginya daripada haiwan liar. Kenderaan pula dikatakan dialih dan ditanam keesokan harinya untuk membersihkan jalan.

Mayat-mayat itu hanya ditemukan seminggu kemudian kerana agensi antarabangsa termasuk PBB, tidak dapat menjamin laluan selamat ke lokasi.

Ketika pasukan bantuan menemukan mayat tersebut, mereka menjumpai telefon bimbit Refat Radwan yang mengandungi rakaman kejadian tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya