GAZA: Hamas memberi isyarat menolak cadangan gencatan senjata terbaharu Israel dengan menuntut satu perjanjian menyeluruh bagi serta merta menamatkan sama sekali perang yang berlarutan selama 18 bulan.
Ketua perunding Hamas, Khalil al-Hayya, berkata demikian selepas pasukan pertahanan awam di Gaza semalam melaporkan, serangan udara terbaharu dilancarkan rejim Zionis membunuh sekurang-kurangnya 40 penduduk Palestin.
“Perjanjian separa yang digunakan oleh (Perdana Menteri Israel) Benjamin Netanyahu hanya sebagai helah untuk agenda politik peribadinya.
“Kami tidak akan bersubahat dengan dasar ini,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi televisyen.
Kebanyakan mangsa yang terbunuh kali ini sedang berlindung di khemah pelarian ketika tentera Israel terus menggila dengan melancarkan serangan di wilayah Palestin.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung laporan serangan itu.
Menurut sumber Hamas, kumpulan pejuang itu sudah menghantar maklum balas bertulis kepada pihak pengantara semalam berhubung cadangan Israel melaksanakan gencatan senjata selama 45 hari.
Dalam cadangan itu, Israel menuntut pembebasan 10 tebusan yang masih hidup dan kini ditahan oleh Hamas.
Sebagai balasan, Hamas menuntut pembebasan seramai 1,231 tahanan dan banduan Palestin yang meringkuk dalam penjara Israel.
Selain itu, Hamas menggesa sambungan semula kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dikenakan sekatan penuh sejak 2 Mac oleh rejim Zionis.
Hamas mahukan pertukaran tahanan secara pakej tunggal, menamatkan perang, pengunduran pencerobohan tentera dari Semenanjung Gaza dan pembinaan semula wilayah terbabit.
Namun, Israel bertindak menetapkan syarat menuntut Hamas melucutkan senjata sepenuhnya bagi menamatkan peperangan, satu tuntutan yang ditolak oleh kumpulan itu.