Imej satelit bongkar Korea Utara hasilkan kapal perang terbesar - Utusan Malaysia

Imej satelit bongkar Korea Utara hasilkan kapal perang terbesar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Imej satelit terbaharu mendedahkan satu kapal perang gergasi sedang dibina di limbungan Nampo, Korea Utara, dipercayai yang terbesar pernah dihasilkan oleh rejim Kim Jong-un sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu terhadap keupayaan ketenteraan Pyongyang.

Imej yang dirakam pada 6 April lalu oleh penyedia satelit bebas, Maxar Technologies dan Planet Labs, menunjukkan kapal tersebut dalam proses pembinaan di limbungan yang terletak kira-kira 60 kilometer di barat daya ibu negara, Pyongyang.

Menurut penganalisis, kapal berkenaan dipercayai merupakan sebuah frigat berpandu peluru (FFG) sepanjang kira-kira 140 meter hampir dua kali ganda lebih besar daripada mana-mana kapal permukaan utama dalam armada tentera laut Korea Utara pada masa ini.

Dalam analisis yang diterbitkan oleh Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Joseph Bermudez Jr. dan Jennifer Jun menyifatkan kapal tersebut sebagai kapal perang terbesar yang pernah dihasilkan Korea Utara disamping dilengkapi sistem pelancar menegak (VLS) yang mampu melancarkan peluru berpandu ke darat dan laut.

Sebagai perbandingan, kapal pemusnah kelas Arleigh Burke milik Tentera Laut Amerika Syarikat mempunyai panjang sekitar 505 kaki manakala frigat kelas Constellation yang sedang dibangunkan berukuran 496 kaki panjang.

Walaupun kewujudan kapal itu tidak mengejutkan, pembinaannya menggambarkan usaha pantas rejim Kim dalam memodenkan angkatan tenteranya, termasuk membangunkan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang mampu mencapai mana-mana bahagian di Amerika Syarikat (AS).

Pembangunan itu berlaku meskipun Korea Utara dikenakan sekatan ketat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang menghalang akses negara itu kepada bahan mentah dan teknologi pertahanan canggih namun, hubungan semakin rapat dengan Rusia sejak tercetusnya perang Ukraine dipercayai membantu Korea Utara ‘mengakali’ sekatan PBB, kata penganalisis.

Imej kapal berkenaan turut dipaparkan dalam siaran agensi rasmi Korea Utara, Televisyen Pusat Korea (KCTV), ketika liputan perhimpunan akhir tahun Parti Buruh, menunjukkan Kim Jong-un sedang memeriksa pembinaan kapal tersebut.

Rakaman itu memberi bayangan kapal perang itu mungkin dilengkapi senjata moden, termasuk pelancar menegak dan radar susunan fasa (phased-array radar), teknologi yang membolehkan pengesanan ancaman dilakukan lebih pantas dan tepat berbanding keupayaan sedia ada Korea Utara.

Kim Jong-un terus menunjukkan komitmen untuk memodenkan armada lautnya disamping turut giat membangunkan peluru berpandu dan kapal selam pelancar peluru berpandu di mana pada September tahun lalu, Kim melawat tapak pembinaan pelabuhan tentera laut baharu, sebagai persediaan menerima kapal perang bersaiz besar. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya