BENGALURU: Seorang wanita di India dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah membunuh anak perempuannya gara-gara remaja itu berbohong tentang keputusan peperiksaannya.
Bhimaneni Padmini Rani, 59, dari negeri Karnataka selatan India, bertindak menikam anaknya, Sahiti Shivapriya yang berusia 17 tahun beberapa kali dalam kejadian tragis pada 29 April 2024.
Shivapriya ketika itu berada di bawah tekanan hebat untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Tahun Kedua Kursus Pra-Universiti (PUC), yang setara dengan peperiksaan A-level di United Kingdom (UK).
Menurut laporan, Shivapriya gagal dalam lima subjek namun memberitahu ibunya dia memperoleh markah yang baik dan pembohongan itu akhirnya diketahu Rani.
“Pada mulanya, Shivapriya mendakwa dia memperoleh markah 95 peratus untuk program pendidikan prakuliah. Tetapi, ibunya tidak percaya dan bertindak menelefon rakannya untuk mengesahkan keputusan itu.
“Rani menyoal Shivapriya tentang punca kegagalannya dalam peperiksaan. Namun, anaknya itu membalas dengan nada yang kasar, menyebabkan situasi menjadi semakin tegang antara mereka. Rani yang berang kemudian bertindak mengambil pisau dapur lalu menikam anaknya.
“Dia berasa sangat malu kerana menganggap Shivapriya sebagai anak kebanggaan keluarga. Dia turut mencanangkan kepada semua orang bahawa anaknya akan melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat (AS),” ujar jurucakap pihak berkuasa.
Setelah membunuh anaknya, Rani cuba membunuh diri namun sempat diselamatkan dan diberikan rawatan.-AGENSI