WASHINGTON: Hubungan rapat antara hartawan teknologi Elon Musk dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang sebelum ini sering digambarkan sebagai “bromance”, kini dilaporkan semakin renggang berikutan beberapa insiden terkini yang mencetuskan ketegangan.
Terbaharu, Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX dan Tesla itu mengkritik hebat penasihat Trump, Peter Navarro, selepas beliau secara sinis menyatakan Musk bukan pengeluar kereta sebenar tetapi sekadar ‘perakit’ kereta, merujuk kepada dasar Tesla yang mengimport bateri.
“Navarro benar-benar dungu. Apa yang dikatakannya itu jelas tidak benar,” kata Musk menerusi hantaran di platform X, sambil menegaskan Tesla merupakan pengeluar kereta paling ‘buatan Amerika’ dan menyifatkan Ketua Strategi Rumah Putih itu lebih dungu daripada guni berisi batu bata.
Walaupun kedua-dua tokoh itu sebelum ini kelihatan akrab terutamanya ketika kempen pemilihan Presiden AS awal tahun ini, sumber dalaman memaklumkan hubungan mereka mula retak susulan kegagalan Musk menyelaras peranannya di dalam pentadbiran Trump.
Dalam satu mesyuarat Kabinet baru-baru ini, Musk dilaporkan mengemukakan cadangan agresif untuk mengurangkan puluhan ribu pekerjaan kerajaan dan memotong perbelanjaan.
Bagaimanapun, pendekatan drastik itu serta kelantangannya di media sosial X didakwa menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan beberapa anggota Kabinet Trump.
Trump sendiri dikatakan berang apabila Musk diberi kelulusan menyertai taklimat khas Pentagon berkaitan China, memandangkan beliau masih memiliki kepentingan dalam perniagaan teknologi dan dibimbangi menimbulkan konflik kepentingan.
Ekoran ketegangan tersebut, Musk dilaporkan bakal berundur daripada peranannya di Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) malah, beliau juga dikatakan menghabiskan hujung minggu lalu memohon kepada Trump agar membatalkan pelaksanaan tarif baharu berskala besar yang kini mencetuskan kebimbangan pasaran global.
Dasar Trump yang dinamakan “Hari Pembebasan” menyaksikan pengenaan tarif sehingga 50 peratus terhadap lebih 60 negara dan langkah agresif itu menyebabkan kejatuhan pasaran saham di AS, Eropah dan Asia, sekali gus mengakibatkan kerugian trilion dolar dalam masa singkat.
Menurut laporan The Washington Post, dua sumber yang enggan dikenali memaklumkan Musk secara peribadi cuba memujuk Trump untuk menarik balik dasar tersebut hanya beberapa hari sebelum saham syarikat Tesla mencatatkan kejatuhan mendadak.