NEW YORK: Gambar ceria seorang kanak-kanak di hadapan kamera ketika duduk di dalam kokpit helikopter sebelum pengangkutan udara itu terhempas meruntun hati banyak pihak.
Insiden ngeri yang berlaku kira-kira pukul 3.15 petang waktu tempatan iaitu 16 minit selepas helikopter itu terbang meragut nyawa Agustin Escobar, 42, seorang eksekutif kanan syarikat Siemens, isterinya Merce Camprubi Montal, 40, serta tiga anak mereka masing-masing berusia 10, 8 dan 4 tahun manakala juruterbang pesawat tersebut yang berusia 36 tahun juga terkorban dalam nahas tersebut.
Menurut Datuk Bandar New York, Eric Adams, keluarga tersebut baru tiba dari Barcelona dan sedang bercuti di New York sempena sambutan ulang tahun kelapan mangsa termuda, yang sepatutnya dijadualkan pada hari ini dan lawatan menaiki helikopter itu merupakan hadiah istimewa untuk anak perempuan mereka dan turut bersempena ulang tahun kelahiran Merce.
Menurut Pesuruhjaya NYPD, Jessica Tisch, empat mangsa disahkan maut di tempat kejadian manakala dua lagi meninggal dunia di hospital akibat kecederaan parah dan ketika kejadian tersebut berlaku, keadaan cuaca dilaporkan berawan dengan kelajuan angin antara 10 hingga 15 batu sejam dan suhu air sekitar 10 darjah Celsius.
Rakaman video menyayat hati memaparkan detik-detik helikopter jenis Bell 206L-4 yang dikendalikan syarikat New York Helicopter itu menjunam ke dalam Sungai Hudson, dipercayai akibat kerosakan serius pada bilah kipas utama.
Helikopter itu dilaporkan berlepas dari Wall Street Heliport dan terbang selama 16 minit sempat membuat pusingan di sekitar Patung Liberty dan menuju ke Jambatan George Washington sebelum terhempas.
Beberapa saksi di kawasan berhampiran menggambarkan detik cemas itu sebagai seolah-olah ‘helikopter berpecah dua’ di udara sebelum menjunam, manakala yang lain menyangka letupan yang didengar adalah ‘dentuman sonik’ atau ‘tembakan senjata’.
“Helikopter itu berputar secara tidak terkawal dengan asap keluar sebelum terhempas,” kata seorang pelayan restoran di Hoboken, Lesly Camacho.
Insiden ini menambah kepada siri kemalangan helikopter yang pernah berlaku di New York sejak 1977 dengan sekurang-kurangnya 32 kematian direkodkan dan nahas terakhir berlaku pada 2018 apabila sebuah helikopter terhempas di East River, mengorbankan lima penumpang. -AGENSI