TOKYO: Gergasi permainan video Jepun, Sony, mengumumkan kenaikan harga konsol PlayStation 5 (PS5) versi digital sebanyak 25 peratus, susulan tekanan tarif perdagangan yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terhadap barangan import luar.
Dalam kenyataan rasmi, Sony memaklumkan harga PS5 Digital Edition akan dinaikkan kepada 429.99 pound (RM 2,498) di United Kingdom dan 499.99 euro (RM 2,497) di negara-negara Eropah bermula Isnin ini.
Namun, tiada sebarang perubahan harga diumumkan bagi model standard yang dilengkapi pemacu cakera (disk drive).
Menurut syarikat itu, keputusan menaikkan harga dibuat selepas mengambil kira persekitaran ekonomi global yang mencabar, termasuk kadar inflasi yang tinggi serta turun naik kadar pertukaran asing.
Di Australia, harga PS5 Standard akan meningkat kepada AU$829.95 (RM2,320) manakala edisi digital pula kepada AU$749.95 (RM 2,096).
Bagi pasaran New Zealand, PS5 Standard akan dijual pada harga NZ$949.95 (RM 2,470) dan edisi digital pada NZ$859.95 (RM 2,236).
Langkah ini hadir dalam keadaan industri teknologi global sedang berdepan ketidaktentuan akibat dasar perdagangan baharu Washington.
Pada 2 April lalu, Presiden Trump melancarkan tarif “resiprokal” terhadap barangan luar, yang menyaksikan Jepun dikenakan cukai import sebanyak 24 peratus ke atas eksportnya ke AS pada apa yang digelar Trump sebagai “hari pembebasan perdagangan”.
Susulan pengumuman tersebut, syarikat permainan video Jepun lain, Nintendo, menangguhkan pra-tempahan untuk konsol terbaharunya, Switch 2, di pasaran Amerika Syarikat bagi menilai kesan terhadap rantaian bekalan mereka namun begitu, tarif tersebut buat masa ini digantung selama 90 hari.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba menegaskan Tokyo tidak akan membuat sebarang konsesi besar kepada Washington dan tidak tergesa-gesa untuk mencapai persetujuan dalam rundingan perdagangan yang dijadualkan minggu ini. -AGENSI