BAITULMUQADDIS Pejuang Hamas melancarkan serangan roket ke arah bandar di selatan Israel dengan beberapa daripadanya dipintas oleh sistem pertahanan udara tentera Israel
Serangan itu sebagai tindakan balas terhadap serangan berterusan tentera Israel di Gaza.
Tentera Israel mendakwa, kira-kira 10 roket dilancarkan oleh pejuang Hamas tetapi kebanyakannya dipintas oleh sistem pertahanan udara.
Saluran 12 Israel turut melaporkan, serangan itu ditujukan ke bandar selatan Ashkelon.
Pasukan khidmat kecemasan Israel pula berkata, pihaknya sedang merawat seorang individu yang mengalami kecederaan dan pasukan berkenaan sedang dalam perjalanan ke lokasi roket dijatuhkan.
Video yang disebarkan pasukan khidmat kecemasan Israel menunjukkan tingkap kereta pecah dan serpihan bertebaran di jalan raya.
Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan tempatan Gaza berkata, serangan tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 44 orang di seluruh Semenanjung Gaza pada Ahad.
Sejurus selepas tembakan roket itu, tentera Israel menerusi platform X mengeluarkan arahan pemindahan baharu, mengarahkan penduduk beberapa daerah di bandar Deir Al-Balah, di tengah Semenanjung Gaza untuk meninggalkan kediaman mereka.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang dalam penerbangan ke Washington bagi menghadiri satu perjumpaan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump diberi taklimat mengenai serangan roket terbabit oleh Menteri Pertahanannya, Israel Katz dan memaklumkan Israel akan melancarkan serangan balas.
Rangkaian televisyen Israel, saluran 12 yang memetik kenyataan pegawai di Hospital Bazilai di Ashkelon, memaklumkan sekurang-kurangnya 12 orang cedera ringan dan sedang dirawat susulan tembakan roket dari Gaza.