Gencatan senjata Myanmar pasca-gempa bumi dijangka tamat

Gencatan senjata Myanmar pasca-gempa bumi dijangka tamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Gencatan senjata di Myanmar yang diisytiharkan selepas gempa bumi dahsyat bulan lalu dijangka tamat pada Selasa, meskipun kumpulan bantuan dan perantara antarabangsa menyeru agar tempohnya dilanjutkan bagi memudahkan usaha bantuan kemanusiaan.

Junta tentera yang merampas kuasa pada 2021 dan mencetuskan perang saudara pelbagai pihak mengumumkan menghentikan serangan ke atas pelbagai kumpulan bersenjata selepas gempa bumi bermagnitud 7.7 yang telah meragut lebih daripada 3,700 nyawa.

Namun, pemantau konflik dan penduduk melaporkan pertempuran masih berterusan di kedua-dua belah pihak sepanjang tempoh gencatan selama 20 hari itu.

Gencatan senjata itu diisytiharkan bagi memudahkan penghantaran bantuan di kawasan tengah Myanmar dan dijangka tamat pada tengah malam ini.

Media kerajaan pada pagi Selasa tidak melaporkan sebarang lanjutan gencatan senjata, manakala jurucakap junta tidak dapat dihubungi oleh AFP untuk memberi komen.

Gempa bumi yang berlaku pada 28 Mac lalu menyebabkan lebih 60,000 orang kehilangan tempat tinggal dan kini hidup di khemah sementara.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih dua juta orang kini berada dalam keperluan kritikal terhadap bantuan dan perlindungan.

Walaupun pertempuran masih berlaku, organisasi kemanusiaan dan kuasa serantau menyeru agar tempoh gencatan itu diteruskan memandangkan usaha bantuan kini memasuki minggu keempat.

Khamis lalu, Ketua Junta, Min Aung Hlaing terbang ke Bangkok untuk bertemu Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam satu rundingan tertutup yang jarang berlaku bersama pengerusi blok ASEAN yang terdiri daripada 10 negara.

Anwar, yang negaranya kini memegang jawatan pengerusi bergilir ASEAN berkata, beliau turut berbincang dengan pihak pembangkang Myanmar, iaitu ‘Kerajaan Perpaduan Nasional’ (NUG), yang turut berjanji untuk mematuhi gencatan senjata selepas gempa itu.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk melakukan apa sahaja yang perlu bagi mengelakkan sebarang lanjutan pertempuran,” kata Anwar kepada wartawan selepas pertemuan tersebut.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya